Halaman

Selasa, Februari 24, 2009

COUNTDOWN MAC 2009




p/s: Album sifu-sifu saya ini bersama dengan bekas ahlinya bakal keluar tidak lama lagi. Inteam Reunited! Moga tampil dengan kelainan yang membanggakan.

Isnin, Februari 23, 2009

KAMBING PUN PANDAI SENYUM

Senyumlah...

Susah ke nak senyum? Senyum itu kan sedekah. Sedekah tanpa modal. Tetapi ramai yang tidak menitik beratkan hal ini. Senyum mampu mewujudkan suasana mesra diantara seorang muslim dengan muslim yang lain. Rasulullah SAW juga suka senyum.

  1. Daripada Umar bin Al-Khatab R.A dia berkata.. “RasulluLLAH SAW tersenyum dan baginda adalah orang yang paling bagus giginya”(diriwayatkan Ibnu Hibban di dalam sahihnya)
  2. Daripada Jabir bin Samurah RA..dia berkata .. “RasulluLLAH SAW tidak pernah tertawa selain daripada senyuman”(Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Hakim).
  3. Daripada Abdullah bin Juz’,dia berkata .. “RasulluLLAH SAW tidak tertawa selain daripada senyuman.” (Riwayat At-Tirmidzi,dan menurutnya hadis ini hasan Ghorib)
Senyum memainkan peranan yang penting dalam usaha dakwah dan pentarbiahan. Mungkin saya bukan orang yang layak untuk berbicara tentang pentarbiahan memandangkan saya juga masih dalam proses pentarbiahan. Namun, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak, sekadar yang termampu moga menjadi ingatan berguna buat kita semua.

Senyum melambangkan satu kemesraan, ukhwah dan mahabbah. Senyum menzahirkan kita sebagai umat yang mesra, lemah lembut dalam pergaulan, bertoleransi dan pentingkan kesepaduan hati. Senyum merupakan dakwah yang cukup halus tetapi tajam. Ia mampu melembutkan hati orang yang kita sapa dengan senyuman. Sebagai pendakwah atau kalimah yang paling popular masa kini Sang Murabbi, senyuman merupakan satu aset penting dan penghubung yang menghubungkan antara pendakwah dengan objek dakwahnya. Senyuman yang dilontarkan dengan ikhlas mampu menerjah ke hati orang yang di sapa dan membibitkan suasana kemesraan diantara dua individu tersebut. Apabila suasana itu sudah wujud, maka dakwah yang ingin disampaikan juga mampu menyerap masuk ke sanubari dengan mudah. ALLAH melarang kita bersikap dingin, berhati keras dan bersikap keras sesama makhluk. Sikap mazmumah ini hanya membuatkan dakwah itu tidak bergerak dan orang itu akan ditinggalkan manusia. Sejalur dengan firman ALLAHU RABBI, “sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu”(ali-imran:159).


Senyumlah. Ini yang diamalkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dalam menyebar dakwah Islamiyyah. Baginda lahir dalam masyarakat yang keras pergaulannya, keras bicaranya. Dengan senyuman yang ikhlas, Baginda SAW mampu menyampaikan dakwah Islamiyyah dengan baik. Hati masyarakat Arab ketika itu cair dengan senyuman Baginda SAW. Sopan santun baginda amat memikat hati masyarakat Arab. Akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW menjadi ikutan masyarakat. ALLAH SWT berfirman

“Sesungguhnya telah ada pada diri RasulluLLAH itu suri tauladan yang baik bagi kalian(iaitu)bagi orang-orang yang mengharap(rahmat)ALLAH dan (kedatangan)hari kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH”(al-ahzab:21)

Rasulullah SAW dengan izin ALLAH SWT berjaya membangunkan ketamadunan ummah yang gemilang bermula di kota cahaya Madinah Munawwarah dibawah Baginda SAW hinggalah ke seluruh alam yang legasinya disambung oleh Para Sahabat Nabi SAW, Para Tabiin dan Tabi' Tabiin.

Akhir kalam, saya menyarankan pada diri saya dan juga anda semua supaya amalkan awet muda ini dan sebarkan kepada rakan-rakan anda. Senyumlah dengan seikhlas hati. Wujudkan silaturrahim yang tulus dengan niat kerana ALLAH SWT supaya kita dapat merasai nikmat kemanisan iman (Halawatul Iman).

Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka". (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wallahu a'lam.

Jumaat, Februari 20, 2009

TRANSFORMASI ARTIS NASYID 1

Yasin (Ex-Brothers) kini tampil dengan imej berambut panjang

Suhaimi Saad (Ex-Inteam) selesa dengan penampilan terbarunya selepas mendirikan rumahtangga dengan Ina Naim. Alhamdulillah, sudah mempunyai putera yang comel.


Bekas vokalis D'Riyadh ini pernah menjadi pendakwah bebas suatu ketika dahulu sebelum memilih untuk meluaskan dakwahnya dalam bidang seni nasyid.


Bekas vokalis Kumpulan Nasyid Saujana.



Hafiz Hamidun (Ex-Unic) kini semakin ligat dalam meluaskan empayar muziknya.




Akbar Azmi (Ex-Brothers)




p/s: Sekadar melihat perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh artis nasyid Malaysia. Ada yang semakin baik, semakin matang dan tak kurang juga yang memilih jalan yang kurang bijak. Berjalan mestilah kehadapan, bukan belakang! Semakin hari, semakin baik, semakin dekat pada Pencipta kerana hidup kita semakin dekat dan hampir menemui mati. Tak ada manusia yang semakin hari semakin menjauhi mati.

Khamis, Februari 19, 2009

RINGTONES DAKWAH



Khamis, 19.Februari.2009, 2.30pm.

Kebanyakan pelajar pada hari ini kelihatan letih. Orang Indonesia kata, capek! Ketika pensyarah sedang mengajar, ada yang tersengguk-sengguk mengantuk. Ada yang mata sampai merah kerana tahan mengantuk. Suasana dalam kelas agak suram dan hanya suara pensyarah yang jelas kedengaran. Sekali sekala, terdengar sayup-sayup suara pelajar menguap.

Suasana yang ‘damai’ dan hening itu tiba-tiba dipecahkan dengan bunyi telefon bimbit seorang pelajar perempuan yang menggunakan ‘ringtones’ Junjungan Mulia (Ya Nabi Salamun Alaik) nyanyian Raihan, Hijjaz, Now See Heart dan Brothers. Jenis truetones bukan monophonic atau polyphonics. Semua terkejut. Yang tidur, terus terjaga. Pensyarah yang sedang mengajar, terdiam. Beberapa saat kemudian, seorang pelajar lelaki berkata, “Tenang betul dengar ringtones macam ini”. Semua ketawa. Pensyarah tersenyum.

Pelajar kembali bersemangat untuk meneruskan pembelajaran. Tiada yang mengantuk sesudah itu. Pensyarah juga kelihatan bersemangat untuk sambung mengajar. Mungkin kerana lihat pelajarnya kembali bersemangat dan bertenaga. Seorang pelajar India kelas kami yang duduk disebelah saya tersenyum. Dia yang tadi mengantuk turut kembali bertenaga.

p/s: Ringtones telefon bimbit juga memainkan peranan dalam dakwah. Apatah lagi diri Muslim itu sendiri. Ayuh berakhlak dengan akhlak Islamiyah agar ia mampu menjadi dakwah kepada masyarakat.

Rabu, Februari 18, 2009

MEMORI DI SEK REN ISLAM AL-AMIN

Ketika saya berjalan melintasi Sekolah Rendah Islam Al-Amin Kuala Lumpur baru-baru ini, terubat rasa rindu saya kepada murid-murid Al-Amin. Keletah mereka, senyuman mereka dan tak kurang juga kenakalan mereka membuai-buai hati saya untuk kembali ke memori bersama mereka ketika saya menjadi guru ganti di sekolah ini.



Sepanjang menjadi guru sekolah Al-Amin, setiap saat hati saya dipenuhi dengan perasaan kasih sayang, gembira, tenang dan damai. Terasa biah solehah yang pernah saya rasai satu ketika dahulu di KISAS. Melihatkan senyuman mereka mampu memberi ketenangan dalam hati saya. Saya tidak nafikan yang saya memang suka kanak-kanak tetapi murid-murid Al-Amin berbeza! Mereka dididik dengan satu bentuk pentarbiahan yang cukup baik. Akhlak mereka, tutur kata mereka, adab-adab mereka membuatkan ramai yang teruja apabila bersama dengan mereka. Ya, mereka masih kanak-kanak tetapi kanak-kanak inilah yang mampu mencerminkan biasan dakwah kepada sesiapa yang melihat dan bersama dengan mereka. Pernah saya membawa rakan-rakan saya ke sekolah ini untuk satu program motivasi dan mereka juga turut merasai perkara yang sama. Inilah kesan pentarbiahan yang baik. Perjalanan kehidupan mereka masih panjang. Saya berdoa moga mereka istiqomah dan tetap di jalan dakwah ini.



Di Al-Amin, saya bukan sekadar mengajar, saya juga turut belajar secara tidak formal dengan guru-guru Al-Amin. Mereka ikhlas. Tabah dan cekal! Secara peribadi, saya amat kagum dan hormat dengan guru-guru sekolah Al-Amin. Ilmu, pengalaman dan nasihat yang dicurahkan, banyak mengajar saya dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar di 'Hutan Batu' ini. Kadang-kadang terasa rindu untuk mendengar kata-kata nasihat daripada Ustaz Razaini, Ustaz Zubir, Ustaz Jabbar, Ustaz Syed Abi Mahfuz (zaujah ustaz ini pernah terpilih Jemputan Umrah Astro Oasis tetapi dia menghadiahkan kepada pemandu teksi yang selalu membawa anak-anak dia ke sekolah) dan ramai lagi ustaz-ustaz dan guru-guru di sekolah Al-Amin.



Di sekolah ini juga, saya belajar untuk memahami perasaan anak kecil yang ketiadaan ayah. Bukan kerana telah meninggal dunia tetapi ditahan tanpa bicara di Kem Kemunting dibawah akta ISA. Apa salah anak kecil ini sehingga dinafikan haknya untuk bersama ayahanda tercinta? Kenapa begitu zalim manusia sehingga sanggup memisahkan seorang bapa dengan anak kecil yang belum puas menagih kasih seorang ayah? Saya dapat tahu, sehingga ke hari ini, ayah murid ini masih ditahan di Kem Kemunting dan murid ini kini berusia 16 tahun! Jika benar ayah murid ini bersalah, kenapa tidak dibicarakan? Mengapa perlu ditahan dalam tempoh yang lama tanpa sebarang keadilan buat dia dan keluarganya? Dalam undang-undang, 'a person is innocent until proven guilty'. Saya berdoa, moga keadilan buat En Mat Sah Bin Mohd Satray dan rakan-rakannya di Kem Kemunting akan tertegak kelak insyaALLAH. Buat Suhaib, bersabarlah dan sentiasa beri sokongan kepada ibumu.

Sabtu, Februari 14, 2009

LABEL BARU : KONGSI BUKU


Belakangan ini, entri yang saya tulis lebih menjurus ke arah sepak terajang politik. Ini semua gara-gara ‘ribut politik’ yang melanda negeri kelahiran saya, Perak Darul Ridzuan. Sebagai rakyat negeri Perak, saya mesti ada sikap ambil peduli tentang apa yang berlaku di negeri saya. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat kelahiran.

Berbalik kepada tajuk entri ini, mulai minggu depan saya akan perkenalkan satu label baru, label KONGSI BUKU. Dalam label ini, saya akan kongsikan ulasan, pendapat dan pengajaran yang saya perolehi melalui buku yang saya baca. Sebelum ini, saya ada membaca buku tetapi tidak berpeluang untuk berkongsi dengan anda semua. Justeru, saya cuba ambil pendekatan ini agar buku yang saya baca kelak akan memberi manfaat kepada diri saya dan juga pembaca yang mengikuti blog saya. Sesuatu yang baik perlulah dikongsi bersama.

You are what you read.




p/s: Buku pertama yang bakal saya kongsi bersama ialah buku Di Jalan Dakwah Aku Menikah, tulisan Cahyadi Takariawan. =)

Khamis, Februari 12, 2009

MELAYU MUDAH LUPA? MANUSIA MUDAH LUPA!

Bismillahirrahmanirrahim wa bihi nasta'in.
Wa ba'du,
"Pada hari ini, kami tutup mulut mereka; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan." (Yaasiin: 65)

AGAKNYA kita lupa (bukan terlupa) bahawa ALLAH Maha Ada.
Atau kita tak ingat. Atau mungkin kita tidak benar-benar imani bahawa Akhirat itu wujud dan benar.
Dek kerana itulah kita biarkan;
mulut kita sengaja menipu, bercakap besar - angkuh, memfitnah, berjanji, mengungkit, mencela, bersumpah palsu, mengumpat, menjerit, berbicara yang tidak perlu dan seumpamanya -
tangan kita sengaja menuding, menandatangani, mengambil, memegang, menyentuh, mengunjuk, mengadun, menumbuk, menulis, menaip, mengepal, menyuap dan sebagainya -
kaki pula sengaja melangkah, melompat, memijak, memanjat, menghinjak, menyepak, menerajang dan banyak lagi laku -
tanpa rasa diri diawasi ALLAH SWT. Tanpa ingat yang segalanya akan disoal dan dipersoal.
Jika tidak di barzakh, sudah pasti di Mahkamah ALLAH Rabbul Jalil yang Maha Adil.

~*~ Ya ALLAH, Engkaulah sehebat-hebat konspirator! ~*~
"Katakanlah (Muhammad), "Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Ditangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Ali Imran: 26)
Artikel ini dipetik dan diubah suai dari http://www.sanggar-cinta.blogspot.com/
Terima kasih Ustaz Nabil Far East dan Kak Chik.

Selasa, Februari 10, 2009

BERLAPANG DADA


Ketahuilah, kita memandang sesuatu perkara itu berbeda dengan pandangan orang lain.

Kadang-kadang, kita melihat sesuatu perkara itu baik di mata kita. Namun, tidak di mata orang lain.

Kadang-kadang kita melihat sesuatu perkara itu buruk di pandangan kita. Namun pada pandangan orang lain, itu baik, bagus.

Keterbukaan.
Pelajarilah untuk menerima seadanya dan tidak begitu cepat menilai seseorang pada luarannya semata-mata. Di sebalik luaran itu, mungkin tersirat 1001 macam tafsiran pada dalaman yang masih belum terungkai.


Belum terlambat untuk mempelajari ilmu ikhlas. Berlapang dada lah.

Jumaat, Februari 06, 2009

RENUNGAN BERSAMA

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
[Al-Hujuraat: 6].



“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”
[Al-Qur’an: Ayat 113 Surah Hud]

Isnin, Februari 02, 2009

HILANG


Nampaknya, perkataan 'hilang' adalah perkataan yang paling popular pada tahun 2008 dan 2009.
Ada yang 'hilang' terus. Tak jumpa-jumpa.
Ada yang 'hilang' lama. Bila jumpa, sudah tidak bernyawa.
Ada yang 'hilang' sekejap, mucul sekejap, lepas itu terus 'hilang'.
Ada yang 'hilang' tak sampai seminggu. Jawatan 'hilang', terus muncul.
Dan ada juga yang dikatakan 'hilang', rupanya tak 'hilang'.
HILANG
Misteri sungguh.
Adakah mereka ini dihilangkan?
Atau mereka menghilangkan diri?
Kalau mereka dihilangkan, siapa yang menghilangkan mereka?
Kalau mereka menghilangkan diri, dimanakah mereka?
p/s: Moga Polis akan kerja lebih kuat untuk cari mereka yang hilang dan orang yang menghilangkan mereka.

Ahad, Februari 01, 2009

SYARIKAT MESIR BEKAL MAKANAN KEPADA ISRAEL SEMASA PERANG?


Terkini : Terbongkar syarikat Mesir membekal makanan kepada Israel semasa perang Gaza.

Ahad, 01/02/2009 - Sebuah akhbar Mesir telah membongkar yang sebuah syarikat Mesir telah membekalkan askar-askar rejim Zionis dengan makanan melalui lintasan Owja semasa perang di Gaza manakala lintasan Rafah telah ditutup untuk bekalan bantuan kepada untuk warga Palestin

Akhbar Al-Osbo menyebut setiap minggu konvoi tetap lori membawa bekalan makanan daripada bandar raya Sadat pada lintasan Owja untuk menyampaikan bekalan makanan kepada tentera Israel semasa pencerobohan
mereka di Gaza.

Akhbar itu turut menyatakan kedahsyatan pemikiran syarikat Mesir tersebut tergamak membekalkan askar-askar rejim Zionis dengan bekalan makanan berlabel “Latha” yang bermaksud “Sedap” pada masa sama , rakyat Mesir berang terhadap pencerobohan Israel terhadap rakyat Gaza .

sumber : maszlee malek


p/s: kecelaruan minda yang semakin teruk. Dr Wahan diperlukan segera.

YDPA HADIRI KENDURI KAHWIN DI FEKDA LBJ

01/02/2009 4:18pm


SEREMBAN 1 Feb. — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah hari ini mencemar duli menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki kepada seorang kakitangan Istana Negara di rumahnya di Felda LBJ dekat sini hari ini.

Baginda yang tiba dengan menaiki helikopter Blackhawk mendarat di padang sekolah kebangsaan LBJ pada pukul 1.00 tengah hari.

Kakitangan itu, Zarina Muhamad, 46, terkejut tetapi gembira dengan kehadiran Tuanku serta permaisuri.

“Terharu sangat, tidak sangka Tuanku sanggup mencemar duli menghadiri majlis perkahwinan anak saya di kampung ini,” katanya kepada Bernama.

Anak lelaki beliau, Mohd Faiz Mohd Aris, 25, seorang usahawan, mengahwini Azalinawati Ahmad Zainal Abidin, 22, seorang kakitangan kerajaan.

Kehadiran Tuanku turut menggemparkan penduduk kampung itu menyebabkan majlis tersebut penuh sesak dengan orang ramai yang ingin melihat raja mereka dari dekat.

— BERNAMA



p/s: Kalaulah YDPA dapat hadir ke majlis perkahwinan saya kelak alangkah seronoknya.... =)