Halaman

Khamis, Februari 02, 2012

Download Lagu Secara Illegal Satu Penafian Hak!

Sudah lama saya simpan perkara ini. Sudah lama saya diamkan. Bukan bererti saya takut sebaliknya sabar. Sabar dalam melihat tingkah laku manusia yang saya kira mungkin kurang sedar akan apa yang dia lakukan.

Ramai diluar sana yang mengaku menyokong nasyid. Tidak kurang juga yang bingkas bangun menyuarakan itu ini mengenai nasyid. Respon ini cukup membanggakan namun ada beberapa perkara yang merosakkan manifestasi sokongan tersebut.

Bagaimana kita boleh mengaku kita menyokong kuat irama nasyid, berhasrat ingin memartabatkan nasyid, mendokong dan mengangkat nasyid ke seantero dunia kalau kita sendiri yang menyediakan pautan muat turun (link download) lagu-lagu nasyid secara tidak sah? Bukan setakat 1, 2 lagu malah keseluruhan album!

Tidak cukup dengan khianat tersebut, ada segelintir yang walaupun pada hakikinya tidak terlibat dengan pautan muat turun tersebut, tidak terlibat mahupun memiliki blog-blog yang menyediakan pautan muat turun tersebut, namun tanpa sedar 'memiliki saham' apabila mempromosi blog-blog tersebut di alam maya dengan gigihnya. 

Apakah kita tidak sedar perbuatan khianat menyediakan link download lagu-lagu ini bakal menutup periuk nasi artis dan syarikat rakaman? Tahukah anda, setiap album yang dihasilkan mempunyai 'bahagian' yang akan diagihkan kepada semua pihak yang terlibat dalam pembikinan album tersebut.

Tindakan menyediakan link download secara illegal, mempromosi dan menyebarluaskan kepada orang ramai telah menjadikan anda perompak hak orang lain! Kalau lanun cetak rompak mengaut keuntungan melalui penjualan CD cetak rompak, apa bezanya kita yang telah menafikan hak artis, syarikat dan orang yang terlibat dalam album tersebut dari mendapatkan hak dan royalti mereka?

Nah, kita ambil contoh album Almarhum Ustaz Asri. Syarikat rakaman cetak 10,000 unit untuk sasaran pembeli lebih kurang 10,000 orang. 4,000 orang beli CD Original. 2,000 orang mungkin 'dilanun' oleh lanun cetak rompak. lagi 4,000 orang 'diculik' oleh insan-insan yang menyediakan link download percuma seluruh album! Di akhir jualan, pihak syarikat hanya mampu memberi royalti kepada keluarga almarhum untuk jualan 4,000 unit CD sahaja memandangkan lagi 6,000 unit tidak terjual akibat khianat lanun cetak rompak dan penyebaran link download secara tidak sah tersebut. Tidakkah kita rasa bersalah menafikan secara tidak langsung hak dan royalti yang sepatutnya diterima oleh keluarga Almarhum Ustaz Asri Rabbani sedangkan kita tahu anak-anak almarhum masih kecil dan royalti tersebut sangat membantu bagi mereka. Lebih-lebih lagi mereka ialah anak yatim!

Berhentilah! Berhentilah dari menjadi manusia yang zalim. Sama ada anda menyediakan link download secara haram atau anda mempromosi link mahupun blog tersebut, anda pasti memiliki 'saham' di akhirat kelak! 'Saham' ini kelak akan dituntut oleh mereka yang anda zalimi dan 'saham' inilah yang akan menjadikan anda muflis di akhirat kelak.

Saya menyeru rakan-rakan blogger nasyid supaya hentikan aktiviti yang bakal memufliskan anda di akhirat kelak. Marilah kita saling menjaga hak individu yang termaktub dalam Islam. Semoga ALLAH swt memelihara kita dari sebarang perkara-perkara tidak baik sama ada secara sedar mahupun tidak sedar.