Halaman

Isnin, Julai 16, 2007

DAH CUKUP MERDEKA KE?




Tahun ini Malaysia akan menyambut ulangtahun ke 50 kemerdekaan Malaysia. Alhamdulillah, berkat perjuangan dan kesabaran golongan terdahulu, kita kini dapat merasai nikmat kemerdekaan! Syukur pada Ilahi yang mengurniakan nikmat paling berharga buat semua rakyat Malaysia. Telah 50 tahun kita merdeka dan bebas dari cengkaman negara luar. Namun, adakah kita benar-benar telah merdeka? Sudah cukup merdeka kah kita dari mereka?

Kita mengakui kepada semua yang kita telah pun merdeka. Kita canangkan kepada semua yang kita telah lama merdeka. Namun, sedar atau tidak yang anda sebenarnya masih tidak merdeka dek kerana"mind setting' anda yang masih mengagung-agungkan barat! Dimana pegangan ekonomi kita sekarang? Kemana arah pemikiran kita? Bagaimana cara kita selesaikan masalah kita? Bagaimana pula dari sudut undang-undang yang persis undang-undang barat?

Masih ramai dikalangan kita yang terlalu mengagungkan barat. Baik dalam keadaan sedar mahupun tidak sedar. Yang sedar, terang-terangan menunjukkan sokongan mereka dan pujian mereka kepada barat. Bangga membeli barangan barat atas alasan kualiti. Belajar di universiti barat lebih ternama dan masyur dari belajar di universiti sendiri mahupun universiti di negara Arab. Sifat terlalu mengagungkan barat inilah yang membuatkan mereka masih tidak merdeka. Buat apa canangkan satu Malaysia yang anda merdeka sedang jiwa dan minda anda pada barat?

Itu golongan yang sedar. Manakala, bagi golongan yang tidak sedar, mereka mengakui mereka merupakan bangsa yang merdeka. Mereka cintakan tanahair. Namun, dalam "mind setting" mereka kuat mengatakan segala yang terbaik dan sempurna adalah barat. Hebat sangatkah barat? Adakah mereka tidak pernah membuat sebarang kesilapan mahupun ada cacat cela? Pemikiran ini sebenarnya telah menyelimuti hampir seluruh masyarakat di Malaysia kini. Ya, pemikiran yang terlalu mengagung-agungkan barat sehingga lupa pada kelebihan negara. Tidak merasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Tidak merasa bangga mengucapkan kalimah tauhid. Percayalah, jika sifat di atas ada pada diri anda, anda sebenarnya belum merdeka.
Kita sering mengaibkan masyarakat kita sendiri pada bangsa lain dan pada dunia. Kita tidak merasa bangga menjadi rakyat malaysia sehingga sanggup mengutuk negara sendiri.
Barat menjadi hebat kerana segala kelemahan mahupun kesilapan mereka tidak kita ketahui. (mereka pun tidak mahu mendedahkannya!) Sifat terlalu mengagungkan barat yang ada pada diri kebanyakan rakyat Malaysia telah menutup segala pandangan buruk kita pada barat. Kita disajikan dengan kekuatan mereka, keagungan bangsa mereka, kehebatan mereka dalam bertempur sehingga segala yang terbaik adalah milik mereka.
Kita membaca buku-buku mereka. Pemikiran kita telah mengikut acuan pemikiran mereka.
Inilah yang mereka mahukan sebenarnya. Walaupun kini Malaysia telahpun merdeka, namun hingga kini Malaysia tidak mampu berdiri dengan kaki sendiri. Segala masalah kita rujuk kepada barat baik dari aspek ekonomi, sosial mahupun pendidikan!

Jiwa yang merdeka adalah mereka yang mengakui diri mereka merdeka dan benar-benar merasai nikmat kemerdekaan itu! Mereka bangga menjadi rakyat Malaysia. Yakin pada diri sendiri dan kemampuan orang lain. Saling bersatu padu dalam masyarakat dan ummah. Tidak memperlekehkan bangsa mereka kepada orang lain.
Jiwa yang merdeka tidak mengagung-agungkan barat sebaliknya berusaha untuk menjadi lebih baik dari barat. Berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup, ekonomi dan sosial. Tidak menjadikan barat sebagai cermin!
Wahai bangsaku, ayuh bersama-sama kita rasai nikmat kemerdekaan ini dengan sebenar-benarnya. yakinlah pada diri sendiri, masyarakat dan negara. Bersama memartabatkan Malaysia ke seantero dunia. Acuan pemikiran kita mestilah beracukan pemikiran Islam. Buangkan pemikiran yang memiliki acuan barat. Kita bangkit semula menjadi ummah yang cemerlang berpaksikan Islam Yang Satu!

Tiada ulasan: