Halaman

Memaparkan catatan dengan label BICARA HATI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BICARA HATI. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 16, 2011

Skrin 'Terra Nullius' Kena Avada Kadavra Dari Voldemort


Baru-baru ini saya telah diserang oleh Voldemort di kawasan UIA (Hogwart la). Dia datang mengejut dan terus menyerang saya dengan spell 'Avada Kedavra'. (Voldemort ni pun satu, bukan nak text dlu before dtg!) Pada waktu itu, saya agak panik kerana saya tidak ingat dimana saya letak wand. Saya seluk poket seluar dan yang keluar hanya telefon bimbit saya- Terra Nullius! (Nama hp saya. hehe).

Maka, spell 'Avada Kadavra' Voldemort telah terkena skrin Terra Nullius sebelum ia terpantul semula ke hidung Voldemort menyebabkan hidung dia kemek! haha. Selepas kejadian itu, Voldemort terus menghilangkan diri. (Dia nk buat operation hidung kot). Malangnya, kesan serangan tersebut, skrin Terra Nullius sudah seperti 'masuk air'. Ia seakan bermain magik pula, sekejap on, sekejap off. Tidak sampai seminit dia On, dia Off beberapa minit dan begitulah dia berulang-ulang. Tetapi masih hidup. Cuma skrin jadi gelap. Call keluar masuk boleh cuma SMS tidak boleh dibaca, tidak boleh taip sms, tidak boleh buka phonebook untuk buat call dan yang sewaku dengannya. Sedih!

Terra Nullius memandang saya. Dia tahu saya sedih melihat ketidakupayaan dia. (Dan dia pun risau klu aku tukar dia dgn Samsung Galaxy SII) Dia pun menyanyikan lagu Ombak Rindu yang tengah 'hot' sekarang ini...

Terra Nullius : Tuhan tolong lembutkan hati dia.. Untuk terimaku seadanya...
(Belum sempat dia menghabiskan lagunya, aku pula menyambung...)
Saya : Kerna ku tak sanggup, kerna ku tak mampu, hidup tanpa SMS disisiku..... =P

Maka, bengang la Terra Nullius. Daripada on tak sampai seminit kemudian off beberapa minit, semalam dia off berjam-jam! Aduh.... Nasib la...

Disclaimer:
  1. Cerita serangan Voldemort itu adalah rekaan semata-mata. 
  2. Kisah skrin Hp rosak memang betul. Buat masa ini, saya sangat menghargai jika anda terus call saya daripada anda SMS saya. (Nak baca SMS, kena take time..) 
  3. Kisah Hp menyanyi itu sememangnya tidak logik. Sekadar hiburan ringan... 

Sabtu, Oktober 15, 2011

Kisah Cinta


My Heart - Inilah filem cinta pertama yang saya tonton dengan penuh penghayatan! (Feeling2 la konon). Sebelum filem ini, memang 'kurang ngam' dengan filem cinta. Rasa macam bodoh sahaja bila tengok Erra Fazira menangis ditinggalkan Awie dalam filem,  tengok Jack yang sanggup korbankan diri demi Rose yang dicintai dalam Titanic apatah lagi tengok Hindustan bergolek-golek atas padang menyanyi lagu cinta!

Sewaktu sekolah menengah lagi kelakar! Saya boleh anti dengan kumpulan-kumpulan nasyid yang bernasyidkan mesej cinta seperti Inteam dan UNIC. Padahal mereka mengajak kepada cinta yang mengikut syariat. Apabila Inteam buat persembahan di SMKA Sultan Azlan Shah, Sri Iskandar yang mana menampilkan kumpulan baharu UNIC pada ketika itu, saya antara yang mendakyah kepada kawan-kawan supaya jangan pergi! haha. Sekarang? Siap rapat lagi dengan Inteam dan UNIC! 

Punyalah Anti-Cintanya saya satu ketika dahulu. Semua yang bermesej cinta, ditolak. (Tahap shadid giler dulu..)  Tetapi, apabila masuk Matrikulasi UIA, segalanya berubah perlahan-lahan. Terima kasih Kak Za (Puan Asniza Mamat, Kaunselor UIA) dan rakan-rakan Matric Peers yang membantu saya melihat dunia dengan lebih luas! =D

Berbalik kepada filem My Heart ini, mulanya saya hanya memenuhi pelawaan kawan baik saya yang mengajak saya untuk menonton filem ini. Apabila tayangan bermula, secara tiba-tiba fokus hati, minda dan jiwa saya melekat pada cerita ini. Saya begitu menjiwai jalan cerita filem ini ditambah dengan lagu-lagu yang begitu asyik. (Walaupun ada yang cakap filem ini tidak best!). Terpana dengan kecantikan Acha, romantika Irwansyah yang cukup gentleman, penuh dengan kejutan-kejutan serta simpati yang mendalam kepada Nirina membuatkan saya 'sedikit jatuh cinta' pada love story.

Selesai menonton filem ini, saya dan kawan saya pulang ke UIA. Malam itu, saya terbayang-bayang kisah cinta saya satu hari nanti. Adakah manis atau pahit? Adakah gembira atau duka? Adakah diterima atau ditolak? dan sebagainya sehinggalah saya tertidur...

....dan sehingga entri ini ditulis, saya masih berharap saya dalam mimpi dan belum lagi terjaga dari tidur tersebut kerana saya berharap apabila saya terjaga dari tidur nanti, saya boleh bertemu dengan kisah cinta saya. =)

Selasa, Ogos 17, 2010

Puisi Hati


Untaian tasbih seakan menari-nari,
Di celahan jari-jemari,
Mengalun nyanyian zikir,
Mengingati Rabbi.

Dimensi pentas duniawi yang kosong,
Hanya membawa aku menerobos angan-angan palsu,
Jiwa di kiri, hati di kanan,
Cinta disisi, perasaan dirawan,
Perlukah aku khabarkan kepada alam,
Bahawa hatiku milik Tuhan?
Tipukah aku jika aku meletakkan cintaku hanya untukNYA?

Biar Iman berbicara,
Menjadi tanda sebuah cerita cinta,
Bukan saksi bisu yang kaku tunduk layu.

Abu Afham

Ahad, Januari 10, 2010

My Chenta Cedera Parah



Hari yang sangat menyedihkan buat diri saya. My Chenta cedera parah disebabkan saya sendiri. My Chenta merujuk kepada handphone kesayangan saya, SE K770i.

My Chenta boleh terlepas dari tangan saya dan meluncur masuk ke longkang yang berair. Saya cepat-cepat ambil dan tengok My Chenta sudah ting tong. Saya pun bawa balik bilik, buka semua dan cuba lap serta keringkan My Chenta. Aduh, sedihnya... Saya melangkah longlai ke CC. Masuk sahaja CC, kakak CC ini menambahkan kesedihan dengan memutarkan lagu Warkah Berlagu Pilu by Felix AF3. Aduh...

Mungkin sudah suratan. Saya sedia menerima apa jua takdir yang bakal berlaku samada My Chenta selamat atau pergi meninggalkan saya.

Menyorot kembali perkenalan saya dengan My Chenta. Sebelum beli My Chenta, saya pakai Nokia 2600, edisi lama yang menggunakan polyphonic. Tiada kamera, tiada MP3 dan sebagainya. Bila pergi mana-mana, selalu tumpang kamera orang atau Hp kamera orang lain untuk merakamkan saat manis bergambar. banyak kali juga saya terlepas untuk merakamkan kenangan manis saya ke Johor, Terengganu, Melaka, Pulau Pinang dan sebagainya. Paling ralat bila ikut inteam pergi show di Terengganu, Pulau Pinang dan UTP tetapi tidak berpeluang nak bergambar. (Ye la, takkan nak pinjam hp mereka pula... saya ini pemalu orangnya... huhu)

Kalau beli kamera, rugi sebab dapat kamera sahaja. Jadi saya bercadang nak beli Hp berkamera. Ada MP3, Video, Kamera dan sebagainya. Kerja kuat hendak beli hp ini. Duit belanja pun saya jimat cermat. Saya mula 'jatuh cinta' dengan Sony Ericcson K850i tetapi cinta tidak kesampaian sebab terlalu mahal masa itu. Akhirnya hati terpikat dengan Sony Ericcson K770i yang saya namakan My Chenta. (Rujuk entri lama saya tentang HP ini: JATUH CINTA.)

Seronok bukan kepalang menggunakan My Chenta. Saya dapat segala yang saya nak disini. Saya dapat simpan video keluarga saya, video nenek kesayangan saya, video adik saudara saya dan gambar mama babah saya. Saya juga dapat menyimpan koleksi lagu-lagu, zikir-zikir dan bacaan Al-Quran. Alhamdulillah, saya juga dapat menghafal beberapa surah melalui audio surah-surah pilihan yang saya simpan dalam format MP3. Pada bulan September 2009, saya siap beli hp 3G untuk mama saya supaya senang saya ber3G dan berMMS dengan mama saya. (Rujuk entri HADIAH UNTUK MAMA.) Terbaru, saya dapat online internet melalui My Chenta.

Nombor telefon pun banyak saya simpan dalam My Chenta. Rasa sedih sangat. =(

Kalau ditakdirkan My Chenta pergi meninggalkan saya, maka akan terputus sementara perhubungan saya dengan rakan-rakan. Duit simpanan saya kurang RM100 sahaja hendak bayar yuran UIAM yang telah ditagih oleh pihak Finance yang tak berhati perut. Kerja nak block je tak habis-habis!

Kerja? Baru sahaja tamat kerja bulan Disember 2009 sebab nak masuk sekolah. Sedang mencari kerja sekarang. Harap-harap ALLAH swt membukakan pintu-pintu rezeki kepada saya.

p/s: Kakak cc ini pun sedang melayan perasaan kot. Selepas Warkah Berlagu Pilu by Felix AF3, dia pasang lagu Andai Kau Pergi by Innuendo. =(

Sabtu, November 07, 2009

HUJAN: BERSABARLAH




Sewaktu kecil, bila hujan turun dengan lebat, saya sering mengeluh, “Mengapa hujan turun?” tanpa saya sedari secara tidak langsung saya telah mengeluh pada suatu kejadian ALLAH SWT.

Bila saya pinta supaya hujan berhenti, saya sebenarnya telah berlaku tidak adil pada alam, pada tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan yang memerlukan hujan sebagai sumber air mereka. Saya lupa hujan itu rahmat buat alam, ia membasahi tanah yang kering, membekalkan air kepada tumbuh-tumbuhan, menjadi air minum buat haiwan-haiwan dan juga sebagai sumber air kepada kita juga untuk memenuhi keperluan hidup.

Sekarang bila hujan turun dengan lebat tika mana saya harus menyelesaikan sesuatu urusan, saya tidak lagi mengeluh… Saya tidak boleh pentingkan diri sendiri. Alam juga berhak untuk menerima rahmat ALLAH. Saya hidup di bumi ini bukan berseorangan tetapi saya berkongsi alam ini dengan haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta hidupan lain yang juga ciptaan ALLAH Yang Maha Esa. Justeru, saya memilih untuk bersabar sehingga hujan kembali reda dan seusai itu saya kembali meneruskan kerja-kerja yang tertangguh sebentar tadi….

Ahad, September 13, 2009

HADIAH UNTUK MAMA


Tidak sabar hendak pulang beraya bersama keluarga, terutama hendak jumpa mama. Saya ada belikan telefon bimbit terbaru untuk mama saya, Nokia 6120c. Mama pakai telefon lama, Nokia 3310. Sebagai kejutan, 16hb ni saya akan bagi telefon ini kepada mama.

Antara sebab utama saya beli telefon ini adalah untuk memudahkan saya menggunakan aplikasi 3G dengan mama. Boleh cakap sambil tengok muka. Maklumlah, anak bujang mama ini jarang juga balik ke rumah. Tambahan, saya hendak hantar MMS kepada mama supaya mama tahu apa yang saya sedang buat, makan, pelajaran dan lain-lain.

Mulanya nak beli Sony Ericcson. Tetapi bila fikir semula, mama sudah terbiasa dengan nokia. Kalau bagi Sony Ericcson nanti, lain format dan cara pengendaliannya, takut mama tidak mahu guna nanti. Alhamdulillah, mudah-mudahan hadiah yang tidak seberapa ini mampu mengembirakan mama.

Saya pun turut gembira bila mama saya gembira. =)

Isnin, Ogos 10, 2009

KADO BUAT OPICK



- INILAH WARKAH YANG KUTITIPKAN KHAS BUAT PAK OPICK SETELAH MENGHANTARNYA KE BANDARA..DALAMILAH..-


Assalamu’alaikum pak opick,

Salam bertemu semula di medan maya setelah jauh terpisah dengan jarak dan waktu. Inilah hukum alam yang tidak bisa kita hindari bahawa setiap pertemuan itu pastinya berakhir dengan perpisahan. Tetapi kerana kita bertemu kerana iman yang memanggil, kita bertemu kerana Allah yang mahukan, perpisahan ini meninggalkan sebuah bekas yang terlalu dalam sehinggakan kita lebih kerap bertemu saat ingatan kita bersatu mengingatiNya.

Bapak, pedih sekali mata ingin kubuka saat langit bumi terbentang sepertiga malam. Pedih kerana aku harus menghadapi sebuah kenyataan yang telah pun berubah menjadi kenangan yang terlalu manis untuk dikenangkan. Kenangan bersama seorang soleh yang kata-katanya menjadi sumbu iman yang makin malap. Tetapi Allah telah pinjamkan aku sebentar diri bapak untukku bersihkan segala lumpur dosa yang menyekat iman untuk lebih bercahaya.

Bapak,

Orang menjadi pelik kenapa aku bersungguh benar mahukan bapak ke sini. Aku menghadapi segala sindiran dengan mengatakan aku ini seorang tidak realitas. Tidak realitas membawakan seorang penghibur yang dapat menggegarkan jiwa. Seorang seni yang bisa meruntuhkan egois manusia terhadap Tuhannya. Orang menuduh aku penghabis duit kuliyyah untuk sesuatu yang tidak pasti dan tiada jaminan. Kami panitia konsert bapak sering ditertawakan di dalam mesyuarat saat mereka menanya kami apakah kami bisa menghadirkan 800 hadirin malam itu. Ya, saat seminggu sebelum konsert bapak, tiket hanya terjual 200+. Saat itulah mereka lebih merendah-rendahkan kami. Bapak, air mata kami sudah letih untuk mengalir sepanjang menjadikan acara ini menjadi realitas. Cobaan demi cobaan ditimpakan ke atas kami. Ya, kami memgambil suatu risiko yang tinggi dari segi bajet. Kami sendiri sebenarnya tiada jawapan akan dari mana kami bisa mendapatkan duit untuk menghidupkan acara ini bapak. Apa yang kami bisa yakinkan adalah kami janjikan kehadiran hadirin yang ramai untuk kami pusing kembali duit bayaran tiket untuk tujuan. Walaupun dengan sindiran sinis, mereka terus mencabar kami jika benar kami bisa buktikan.

Dan kami mengatakan Ya jika Allah mahukan!

Begitulah hari tidak semestinya cerah sampai ke petang, mungkin juga ada ribut yang menanti sorenya. Kami sudah bersedia untuk itu tetapi ia hadir dengan bentuk di luar jangkaan. Ya Allah..kami sama-sama menangis, apakah ini berakhirnya impian kami untuk membawakan bapak ke Malaysia buat pertama kalinya?? Dewan graduasi yang menjadi tempat konsert bapak telah diambil tanpa toleransi. Kami di arahkan untuk mencari tempat lain. Wahai Tuhan yang maha Lembut, bagaimana mungkin kami bisa mendapatkan wang untuk menghasilkan acara ini sekiranya kami hanya bisa menerima 500 hadirin sahaja. Bahkan hadirin itulah sumber kewangan kami. Ya Tuhan…tunjukkanlah jalan keluarnya. Di saat inilah, ramai panitia yang mengambil keputusan untuk membatalkan sahaja konsert malam itu setelah hampir RM5000 duit poket panitia didahulukan.

Bapak,

Beberapa kami tidak akan pernah putus asa. Kerana kami percaya dengan satu prinsip, bahawa Rezeki itu bukan datang dari manusia, tetapi Yang Maha Mendengar tangisan kami dan yang Maha Melihat jerih payah kami lebih mengetahui bagaimana Dia akan membantu kami. Bapak keyakinan inilah harta yang kami bawa. Dengan prinsip ini, orang lebih mengejek aku bahawa aku ini seorang yang tidak realitas. Kata mereka rezeki itu harus diusahakan, ia tidak akan datang bergolek. Tidak bisa bergantung sepenuhnya pada Allah. Bapak! Apakah kebergantungan pada Allah itu harus separuh-separuh? Kesana kemari aku menjaja prinsipku ini agar sudah-sudahlah bicara tentang wang, kembalikan segera niat apa yang kami perjuangkan. Kami mahukan manusia merasakan sentuhan ruhani sehingga mereka mahu kembali pada Allah walaupun dengan cara hiburan. Hiburan mendidik jiwa. Sehingga aku menerima satu pesanan, supaya jangan banyak bercakap tentang agama dan Tuhan dalam hal ini, ia tidak relevan dengan situasi rumit yang kami hadapi.

Ya Allah, runtuhlah jiwa ini saat mendengarnya.. tetapi aku tidak bisa lemah, kerana aku yakin, Allah tidak pernah meninggalkan kami. Katakanlah Tuhan, bahawa Kau akan terus memandu perjalanan ini. Kami mahukan secebis tabah untuk terus bertahan. Sabarlah kalian, Allah bersama kita. Itulah sebaris nasehat yang bisa aku kobarkan semangat panitia yang berbaki setalah ramai yang gugur saat cobaan demi cobaan menimpa. Tetapi, kerana lemahnya jiwa, kami diheret dalam ragu saat melihat kutipan yang terkumpul. Ya Allah, khabarkan pada kami, apakah noktahnya di sini? Kalau bisa dipindah ke dewan yang lain gimana? Kami kesana- kemari mencari venue yang lebih besar supaya kami bisa menampung perbelanjaan kami. Malang, venue yang lebih sesuai untk memuatkan 800 hadirin telah ditempah acara lain. Aku tidak akan pernah mengalah. Saat inilah kami berbincang untuk berunding dengan panitia acara lain untuk bertukar venue. Ya, tidak semudah kata saat kita mahu melakukan. Dengan jawapan TIDAK BISA dari panitia lain, kami hampir sahaja menyerah. Namun, seorang panitia kami masih mahu lagi merayu. Dengan kurniaan Tuhan atas bahasanya, mereka terbuka hati untuk menyerahkannya kepada kami. Alhamdulillah. Syukur. Kerja Tuhan, siapa yang tahu?

Dengan sangkaan ujian ini akan terhenti di sini, kami menghamburkan rasa lega. Sekurang-kurangnya sumber kewangan kami bertambah dengan menambah jumlah hadirin. Aku sedikit selesa untuk merebahkan tubuh di kamarku. Inilah waktu aku bisa sedikit tersenyum dengan lena yang asyik. Namun, Allah masih mahu menguji keikhlasan hatiku. Sore itu, aku menerima panggilan daripada grup musical teater bahawa mereka harus menarik diri kerana kurang actor untuk acara kami. Ya Tuhan, berbaki hanya seminggu untuk aku mencari ganti gandingan yang lain. Siapa yang mahu menerima tawaran persembahan yang tinggal seminggu untuk latihan. Aku hampir rebah. Larian aku sepertinya tidak akan sampai di garis penamatnya. nafasku sudah tersekat-sekat dan dadaku semakin sempit. Inilah Dia Allah, Dia tidak akan mendatangkan guruh tanpa ada pelangi di hujungnya. Di saat-saat akhir inilah, hadirlah beberapa grup yang mahu mengisi persembahan secara gratis. Ya Allah, izinkan aku mendakapimu. Di manakah dirimu Ya Allah..aku mahu sekali bertemu denganMu. Kau mendengarkan suaraku Ya Allah.

Bapak…

Sehinggalah malam itu..malam yang penuh penantian..malam yang akan menentukan hasilnya.dengan jualan tiket sekitar 500+ pada hari sebelumnya, kami hanya berserah kerana Allah telah memujuk aku dengan firmannya : Jika kamu telah membuat keputusan, maka bertawakkallah pada Allah. Tawakkallah duhai hati. Hati, apa pernah kau mendengar Tuhan pernah bicara, setiap yang sukar itu pasti sekali berakhir dengan senang? Ya, yakinlah duhai hati. Nantikan keajaibannya. Aku bersyukur, aku dikurniakan para tentera yang sangat taat. Para jundi yang sangat sabar. Para hawariyun yang tidak pernah lelah walaupun dalam jumlah yang sedikit. Aku kerap kali mengingatkan mereka, kalau tentera BADAR itu bisa, kenapa tidak kita? Apakah mereka dan kita punya Tuhan yang berbeza? Tuhan yang sama juga yang akan memenangkan kita. Teruskanlah melangkah.

Bapak..

Inilah keajaibannya. Manusia membanjir sehingga kami sedikit gawat saat ada hadirin tetap mahu masuk ke dewan walaupun tempat sudah penuh. Mereka sanggup berdiri walaupun harus juga membayar duit tiket. Apakah ini ertinya ya Allah? Apakah ini yang Kau janjikan? Aku terkedu. Aku bisa melihat dari bawah manusia bagai sang semut menghurung gula. Bukan gula yang menawar sakit di hujungnya, tetapi gula hati yang sudah lama mereka hauskan. Gula hati itulah yang ada pada diri bapak. Syukur. Bagaimana bisa aku mengirimkan surat cintaku kepadaMu? Bagaimana? Apakah bisa saat itu aku bersujud padaMu?

Dengan hening dewan, bapak muncul dengan penampilan yang sangat sederhana. Diiringi kepulan hembusan kabus yang lebih menggigit hati. lagu pertama Cahaya hati bagai sihir penghapus dosa. Runtuhlah jiwa-jiwa kelam maka memancarlah taubat yang menyeluruhi ruang hati. Aku menyaksikan mata-mata sang egois telah kalah dengan air matanya. Walaupun masih wujud beberapa sorakan yang tidak sepatutnya, namun ia terus tenggelam dengan jeritan istighfar sang pendengar, sang pendosa yang mahu sekali pulang kepada Allah. Ini bukan rekaan cerita. Inilah muhasabah yang banyak kami terima. Para penyindir kami sudah hilang kata, mereka tertunduk-tunduk malu menyorokkan wajah kemerahan mereka yang tidak bisa ditutupi. Kami puas, puas kerana dapat meyakinkan mereka bahawa inilah hasilnya jika kalian bergantung kepadaNya sepenuhnya. Inilah kuasa yakin yang bisa membenamkan segala ragu padaNya.

Bapak, usai malam itu menyebabkan kami panitia terduduk. Semuanya telah berakhir sekelip mata. Saat inilah kami merasakan manisnya kesusahan yang kami hadapi dahulu. Kalo bisa diputar kembali, mahu sahaja kami kembali ke sana. Inilah manusia, setelah terkota janjinya, baru mahu percaya. Baru mahu sanggup berkorban. Tetapi janji Allah tidak akan datang tanpa harus melalui payahnya. Aku dan temen2 telah diberikan kesempatan untuk terus bersama bapak sebelum berangkat pulang ke Jakarta. Inilah apa yang tidak dapat dirasakan mereka yang lain. Berbual bersama bapak sarat dengan nasehat yang mencarik rasa. Setiap patah bicara bapak banyak sekali menumpahkan air mata. Ya Allah, siapakah yang Kau hadirkan pada kami? Izinkan kami berlama-lama dengannya..

Bapak, buat pengetahuan bapak..

Sepanjang perjalanan kami menghantar bapak ke bandara, kami hanya sepi di dalam mobil. Tetapi aku bisa mendengar sedu sedan dan bisa melihat basahnya pipi teman-teman kerana di sinilah pedihnya sebuah kenyataan bertukar menjadi kenangan. Sangat pedih! Aku sendiri bahkan. Sehinggalah saat akhir mahu melambai tangan dengan ucapan selamat jalan, bapak bisa mengingatkan kami bahawa dalam apapun keadaan, Allah sangat dekat, penuh kasih sayang, tidak akan bisa meninggalkan kami menangis. Sehinggalah bayangan bapak hilang di pandangan..Inilah sebuah kehilangan yang terlalu berat untuk kami bayangkan. Sehingga saat aku menulis ini, maka berjujuranlah air mata mengenangkan kata-kata bapak. Ya Allah, jika mungkin, pertemukanlah kami lagi..saat ingin mahu ketemu lagi.

Inilah akhirnya tulisanku bapak..

Doakan kami di sini. Kerja kami tidak akan terhenti di sini. walaupun kuliyyah dengan rela mendahulukan wangnya kepada kami tetapi dengan syarat kami harus memulangkannya semula. Kami tidak akan membiarkan orang terus memandang kami peminta simpati orang. Kami yakin Allah sendiri akan membalasnya jika kami terus berusaha. Doakanlah kami agar terus dimurahkan rezeki. Inilah sunnatullah dakwah dan jihad, harus berkorban harta dan jiwa. Inilah jalan yang kami sedang lalui dan kami ridho dengannya. Apa yang penting, Allah telah tunaikan harapan kami untuk melihat ada jiwa yang pulang dengan keinsafan dan mahu meraih taubat walaupun telah dilumpur dosa kerana bapak pernah juga berpesan … beruntunglah kita, kerana kita punya Tuhan yang Maha Pengampun..

Mohon ampun atas semua kekurangan saat kami ngurusin bapak. Terlalu banyak yang lemah saat kami mengendalikan acara. Tak terbalas dan tak setimpal dengan apa yang telah bapak berikan. Ya Allah, Kau terus-teruslah mendampingi bapak sehingga lafaz syahadah terakhir meninggalkan jasad.

-Nurul 'Izzah Zainol-

Panitia Konsert Opick

http://lailatulmawardah.blogspot.com/

Jumaat, April 10, 2009

WAHAI SAHABATKU


Sekadar ingin berkongsi satu mesej yang saya terima daripada seorang rakan saya. 

"Husaini, 

Mintalah teman yang soleh dalam sujud akhirmu sewaktu Tahajjud kerana dia bisa menguatkan kakimu di jalan ALLAH SWT... 

Sahabatku, 

Di sekeliling kita terdapatbanyak hati-hati yang kosong dan rindukan sentuhan iman daripada teman yang soleh. Mulakanlah dengan menjadikan dirimu penawar kepada mereka semua, penghidup hati-hati yang gersang... Banyakkan memberi dari mengharap... Biarlah diri kita tidak dihargai orang asalkan kita tahu menghargai orang lain kerna kelak ALLAH pasti akan menghargai kita."

 

Sabtu, Mac 28, 2009

EARTH HOUR PUNYA HAL


Saya mempunyai pengalaman buruk dengan EARTH HOUR. Pada malam tersebut, saya terlibat dengan sebuah program motivasi para nuqaba' yang mana saya telah dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan sedikit pengisian berkenaan dengan Usrah. Slot saya akan bermula selepas solat Isyak. Segala persiapan power point telah pun selesai dan hanya perlu sedikit sentuhan akhir. Ketika idea mencurah-curah datang, tangan pula sedang laju menaip baris demi baris isi-isi penting, tiba-tiba bilik saya gelap! Black out! 

Saya segera keluar dari bilik untuk melihat keadaan diluar bilik. Satu asrama gelap. Dengan penuh gembira, seorang lelaki muncul dari bilik elektrik sambil berkata, "Kita menyahut seruan dunia menyokong EARTH HOUR". Geram saya bukan kepalang. Tidak lama kemudian, elektrik kembali dibuka. Fail power point saya hilang. Fail recovered pun tiada. Saya pasrah dan redha. 

Slot saya berjalan seperti biasa tanpa power point. Tidak mengapa, powerpoint itu bukan 'tongkat' saya. Ia tidak lebih sekadar penambah ceria bagi saya, ibarat 'penambah perisa' dalam makanan. 

Sabtu, Mac 21, 2009

JATUH CINTA!


Saya sengaja letak gambar telefon bimbit ini, Sony Ericsson K850i. Jatuh cinta? Mungkin...

Tapi cinta itu tidak semestinya memiliki.

Bila cinta dilafaz, ia bukan bererti kita harus memilikinya...

Kadang-kadang cinta itu cukup sekadar meminati, memerhati dan merindui.

Cinta oh cinta...

Mungkin aku sedang mabuk cinta!

Cinta dengan SE K850i....... =)

Selasa, Februari 10, 2009

BERLAPANG DADA


Ketahuilah, kita memandang sesuatu perkara itu berbeda dengan pandangan orang lain.

Kadang-kadang, kita melihat sesuatu perkara itu baik di mata kita. Namun, tidak di mata orang lain.

Kadang-kadang kita melihat sesuatu perkara itu buruk di pandangan kita. Namun pada pandangan orang lain, itu baik, bagus.

Keterbukaan.
Pelajarilah untuk menerima seadanya dan tidak begitu cepat menilai seseorang pada luarannya semata-mata. Di sebalik luaran itu, mungkin tersirat 1001 macam tafsiran pada dalaman yang masih belum terungkai.


Belum terlambat untuk mempelajari ilmu ikhlas. Berlapang dada lah.

Isnin, Februari 02, 2009

HILANG


Nampaknya, perkataan 'hilang' adalah perkataan yang paling popular pada tahun 2008 dan 2009.
Ada yang 'hilang' terus. Tak jumpa-jumpa.
Ada yang 'hilang' lama. Bila jumpa, sudah tidak bernyawa.
Ada yang 'hilang' sekejap, mucul sekejap, lepas itu terus 'hilang'.
Ada yang 'hilang' tak sampai seminggu. Jawatan 'hilang', terus muncul.
Dan ada juga yang dikatakan 'hilang', rupanya tak 'hilang'.
HILANG
Misteri sungguh.
Adakah mereka ini dihilangkan?
Atau mereka menghilangkan diri?
Kalau mereka dihilangkan, siapa yang menghilangkan mereka?
Kalau mereka menghilangkan diri, dimanakah mereka?
p/s: Moga Polis akan kerja lebih kuat untuk cari mereka yang hilang dan orang yang menghilangkan mereka.

Khamis, November 13, 2008

PEPERIKSAAN KEHIDUPAN

Peperiksaan akademik telah tamat 11.November.2008. Tapi peperiksaan kehidupan masih berjalan tanpa henti. Kadang-kadang senang, kadang-kadang susah. Alhamdulillah, belakangan ini peperiksaan kehidupan agak senang berbanding sebelum ini. Cuti semester sudah pun bermula. Dijangkakan peperiksaan kehidupan semakin hari semakin mencabar.

Nak tak nak, saya kuatkan semangat untuk hadapi. Kita tak boleh mengelak dari diuji. Yang penting, kita buat persediaan yang mencukupi untuk menghadapi segala peperiksaan itu. Saya optimis! Matlamat terbaru saya, Januari 2009 pendapatan kasar saya mencecah RM10,000. Saya akan usaha kuat! Saya yakin pada diri saya. Berjaya atau tidak, itu nombor 2. Yang pertama, usaha kuat!

Saya boleh! Chayok-chayok! Bahsyah! All the best! Gambette!

Khamis, Ogos 21, 2008

HARI AL-QUDS SEDUNIA



21 Ogos akan terus diingati sebagai tarikh keramat, melakar sejarah hitam dalam ceritera kehidupan penganut Islam. Bukan, peristiwa gila itu telah merobek diari kemanusiaan sejagat.

Semuanya angkara bangsa bangsat yang telah dikhabarkan akan kezalimannya oleh Rasulullah Solallahu 'alaihi wassalam lebih seribu tahun yang sudah. Nah, wahyu Ilahi sudah membuktikan. Kini, hanya liur yang ditelan sambil menyaksi kerakusan tanpa henti. Daging-daging bernyawa terus dicaing sesuka hati oleh puak Yahudi durjana. Berapa ramai dari kalangan kita yang benar-benar tahu; apa yang telah berlaku 39 tahun sudah pada detik itu? Atau memori gelap itu makin malap lantaran kealpaan umat?

21 Ogos 1969; Dennis Micheal Rohan akan terus dikenang sebagai wira di kalangan bangsa Yahudi. Di sisi kita, pemuda Australia itu tidak ubah seperti haiwan yang tidak berakal. Masakan, kerana tindakan kebinatangannya yang tidak mampu dihadam rasional, langsung tidak boleh diterima!Melampau sungguh apabila kiblat pertama umat Islam dibakar. Masjid Al-Aqsa telah dibakar oleh Micheal, menyebabkan api bernyala besar lalu memusnahkan mimbar dan tembok masjid. Api begitu marak, memusnahkan sebahagian besar Masjid Al-Aqsa. Lebih buruk apabila bomba langsung tidak membantu memadamkan api.

Namun rencana Allah Azzawajalla menewaskan segenap rancangan manusia. Api yang menjulang terpadam juga akhirnya. Maha Kuasa Allah Ta'ala, rumah ibadah itu akan tetap terpelihara.Keboborokan undang-undang yang dicatur makhluk jelas terbukti. Pengadilan terhadap penjenayah besar ini tidak dilaksanakan dengan betul. Berperisaikan dalihan am sebagai 'gila', Micheal terlepas dari tuduhan jenayah itu. Dia tidak lagi dipertanggungjawabkan atas tindakan bodohnya. Michael kononnya mendakwa bahawa dia telah diutuskan oleh Allah Ta'ala untuk membakar Masjid Al-Aqsa, berdasarkan berita yang dikhabarkan dari Kitab Zakaria. Lalu Micheal yang bangsat terlepas dari dihukum dengan adil.

21 Ogos akan terus dikenang sebagai Hari Al-Quds Sedunia. Sebagai titik muhasabah, betapa tanah suci Palestin dan Masjid Al-Quds makin jauh dari kita. Hampir saja pemiliknya bertukar tangan kepada musuh azali umat Islam, lantaran episod kezaliman yang berlangsung saat demi saat.Mungkin juga kerana umat Islam sendiri yang tidak menginginkan Masjid Al-Aqsa dan Palestin, yang begitu dibangga-banggakan oleh Rasulullah Solallahu 'alaihi wassalam berserta para sahabat sebagai bumi kudus umat Islam universal. Bukan hanya milik rakyat Palestin, tetapi semua penganut satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah Ta'ala.Mungkin kerana nilai berharganya tidak lagi kelihatan pada mata kita? Adakah benar? Jawablah. Jawab dengan mata hati sendiri. Artikel dipetik dari - http://www.dhanysarip.blogspot.com/

Khamis, Ogos 07, 2008

'BIRTHDAY BOY'


Hari ini, 7.Ogos.2008, genaplah umur saya 21 tahun. Alhamdulillah, hari ini saya jadi 'besday boy' [ejaan besday yang sebenar- birthday]. Orang pertama yang ucapkan selamat hari lahir kepada saya sudah tentu babah dan mama saya. Selepas maghrib semalam mereka dah hantar mesej selamat ulangtahun kelahiran. Terima kasih mama dan babah kerana telah membesarkan along dengan penuh kasih sayang. Tepat pukul 12 malam, bertalu-talu mesej masuk ke peti masuk telefon bimbit saya. Seronok juga jadi 'besday boy' ni. Rasa macam hari-hari nak jadi 'besday boy'. Dalam kelas tadi pun ramai yang ucapkan selamat. Terima kasih semua!

SEKILAS MEMANDANG

Assalamualaikum. Lama tak 'update' blog ini. Rasa rindu juga. Tapi sejak masuk semester baru sampai sekarang, saya memang sibuk dengan pelbagai urusan. Subjek pun semakin mencabar. Kehidupan? Alhamdulillah, semakin hari semakin teratur. Kesihatan pun bertambah baik dari sebelum ini.

SERANGAN ASMA
Hari pertama saya mendaftar semester baru, saya dikejarkan ke Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur pada jam 1.30pagi kerana serangan asma. Mula-mula saya yang memandu kereta dengan ditemani sahabat baik saya, Zaim. Di pertengahan jalan, saya minta dia bawa. Selepas menerima rawatan 'gas ajaib' =), saya dibenarkan pulang. Saya sebenarnya tidak mengidap penyakit asma sebelum ini. Saya mula dapat asma sejak tahun lepas. Itupun sekali selepas saya mengemas rumah. Saya tak tahan dengan habuk. Ini kira serangan asma kedua selepas saya mengemas bilik baru saya di UIA. Doktor ada nasihat supaya kurangkan aktiviti sukan dan elak habuk. Tapi dah nama pun Husaini, mana boleh duduk diam. Saya tak boleh tengok bilik selerak. Mesti kena kemas. Kan kebersihan dan kekemasan itu sebahagian dari nilai-nilai yang baik dalam Islam. Tentang penyakit asma, ia tidak serius, Alhamdulillah.

PROGRAM MOTIVASI
Sepanjang saya rehatkan diri dari menulis blog ini, saya sempat memenuhi beberapa jemputan memberi ceramah motivasi. Alhamdulillah, semua program berjalan dengan lancar dan teratur. Saya juga bersyukur kehadrat ALLAH kerana masih diberi kesempatan dan peluang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang tidaklah banyak mana jika nak dibandingkan dengan penceramah yang lain. Niat saya hanya ingin berkongsi apa sahaja yang ada pada diri saya kepada generasi pelapis. InsyaALLAH, jika diizinkan ALLAH, saya ingin teruskan usaha saya ini ke setiap sekolah, setiap daerah mahupun setiap rumah perlindungan anak yatim yang ada di seluruh Malaysia.

Ok, dah tak tahu nak cakap apa. InsyaALLAH, saya akan disiplinkan diri menulis di blog ini mulai hari ini. Azam sempena ulangtahun kelahiran ke-21 ni. hehe..

Rabu, Mei 21, 2008

HUSAINI KEMBALI

Lama saya tinggalkan blog kesayangan saya ini. Bukan merajuk, bukan menyepi. Tapi kesibukan saya menguruskan perniagaan sendiri mengekang masa saya untuk menghadap komputer. Alhamdulillah, berkat kasih sayang ALLAH, saya telah menjalankan perniagaan menjual telefon bimbit dan kad isian semula (top up). Banyak juga dugaan yang saya tempuhi di awal pembukaan kedai tersebut. Saya juga pelajari banyak benda baru sepanjang menguruskan syarikat yang saya beri nama HS Technologies ini. Sepanjang cuti semester ini, saya manfaatkan masa saya dengan menimba ilmu dalam bidang perniagaan. Menguruskan HS Technologies mendekatkan saya dengan budaya kerja orang cina. Mereka mahu segalanya pantas tapi teliti. Apabila berurusan dengan orang cina, mereka mementingkan kepuasan pelanggan dan ketepatan masa. Mereka juga tidak suka membuang masa dengan berbual perkara yang tidak mendatangkan faedah. Yang paling penting, apabila anda menjadi pelanggan tetapnya, banyak keistimewaan yang anda peroleh.

Saya bersyukur kerana diberi kesempatan menguruskan perniagaan sendiri dengan baik. Kalau sebelum ini saya jalankan perniagaan sekadar untuk tambah duit poket dan suka-suka, kini saya jalankan perniagaan sendiri dengan serius. Niat saya menceburi bidang perniagaan ini bukan atas dasar wang ringgit semata-mata. Lebih dari itu, saya berazam untuk meningkatkan ekonomi orang Islam. Biarlah cita-cita besar saya bermula dari usaha yang kecil. Saya akan berusaha sedikit demi sedikit untuk maju dan terus maju. Saya sudah pun memilih jalan ini dan saya tidak akan berundur.
Saya belajar kerana ALLAH dan bekerja untuk Ummah!

Jumaat, Mac 14, 2008

HATI MANA YANG TIDAK TERSENTUH

Lautan manusia berkumpul untuk menghadiri Munajat Perdana di Kelantan pada malam sebelum mengundi.
Bermunajat memohon bantuan ALLAH SWT.
Titisan air mata seorang ulama. Hati mana yang tidak tersentuh!


p/s: Penulis merupakan seorang mahasiswa yang TIDAK TERIKAT dengan mana-mana parti politik di Malaysia.

Sabtu, Januari 26, 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU!

Abg Qayyum dan Kak Wani, pasangan sejoli yang telah memutuskan untuk hidup bersama sebagai suami isteri di usia muda. 'Perjuangan' mereka untuk meyakinkan ibu bapa masing-masing bahawa perkahwinan adalah jalan terbaik bagi sebuah kisah cinta yang suci membuatkan saya rasa kagum. Apatah lagi, Abg Qayyum merupakan antara mentor saya dalam bidang motivasi dan 'training'. Tahniah Abg Qayyum dan Kak Wani. Moga bahagia hingga ke Syurga.
Sewaktu di Pusat Matrikulasi UIAM, saya amat mengagumi kepetahan Akhi Yazid mengendali sebuah forum Islam yang dianjurkan pada ketika itu. Tidak terhenti disitu, beliau merupakan Presiden Persatuan Bahasa Arab Matrik UIA yang banyak menyumbangkan tenaga ke arah memperkasakan Bahasa Arab dikalangan penuntut. Tahniah buat Akhi yazid dan pasangan. Moga ikatan yang terbina diantara kalian berdua membuka mata insan-insan yang masih khayal dilamun cinta yang tidak berkesudahan.

p/s: Simpulan kata-kata beberapa orang sahabat saya, "Jika kau dah jumpa seseorang yang telah bertakhta dihati kau, jalan terbaik adalah perkahwinan kerana ia adalah permulaan cinta yang tulus, ikhlas dan suci. Akan tetapi, jika masih belum jumpa, tak perlulah terlalu 'terdesak' mencari. Kerana ia akan datang tanpa perlu dicari. Tatkala itu, mahabbah akan berputik dihati tanda dia milikmu".