Halaman

Memaparkan catatan dengan label BISNES DAN KEWANGAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BISNES DAN KEWANGAN. Papar semua catatan

Khamis, April 30, 2009

[IKLAN] PELEKAT KERETA FREE PALESTINE





Komuniti Teman Inteam dengan kerjasama Inteam Records Sdn Bhd telah mengeluarkan produk terbaru Pelekat Kereta FREE PALESTINE. Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan produk ini, sila berhubung dengan saya. Harga bagi setiap pelekat kereta ini hanya RM10.00 sekeping.

RM10.00 SEKEPING!!!

HUSAINI 013-3005038

Selasa, Januari 13, 2009

BOIKOT BERSTRATEGI BLOGGER

Boikot biasanya akan kedengaran apabila terpampang isu-isu sensitif di dalam masyarakat dan ianya menjadi satu amalan kebiasaan dalam menunjukkan bantahan terhadap sesuatu perkara.


Apa yang menjadi tanda tanya kepada penulis ialah, berjayakah kempen boikot? Apa kesan kepada yang diboikot? Sekiranya tanda tanya ini tidak ada jawapan, maka berbaloikah memboikot? Untuk merungkaikan persoalan di atas, maka kepada sesiapa sahaja yang menganjurkan kempen boikot, mestilah meletakkan matlamat dan sasaran kempen. Sekiranya 'matlamat' dan 'sasaran' tidak menjadi agenda kempen, maka bagi penulis, kempen yang dilancarkan hanya lah seperti 'melepaskan batuk di tangga'.


Kita pernah mendengar kempen memboikot akhbar utusan malaysia, kita juga pernah mendengar kempen memboikot produk AS, malah kita juga pernah mendengar kempen memboikot produk Belanda suatu masa dahulu. Ia hanyalah 'hangat-hangat tahi ayam' sekiranya tidak ada matlamat dan sasaran.

Huraian 'matlamat' dan 'sasaran'.
Apa matlamat kempen, melumpuhkan? melemahkan? Sekiranya melumpuhkan, sanggupkah kita melihat pekerja-pekerja diberhentikan. Maka pada penulis matlamat utama kita adalah melemahkan. Sekiranyanya melumpuhkan menjadi matlamat, perlulah ada alternatif kepada pekerja yang bakal diberhentikan kerja. Contohnya, dahulu kita pernah mendengar boikot 'Coca Cola', maka kerajaan Iran mencari alternatif memasarkan produk Zam-Zam Cola. Barulah matlamat melumpuhkan berjaya. Sekiranya tidak berupaya menyediakan alternatif, matlamat melemahkan menjadi fokus utama.


Apa sasaran kempen?
Penulis membahagikan sasaran kepada dua pengertian:

Pertama, sasaran produk. Apakah pruduk yang priority untuk diboikot terlebih dahulu maka selebihnya menjadi alternatif. Contoh, sekiranya ingin memboikot Utusan Malaysia, mestilah dalam masa yang sama Berita Harian menjadi pilihan alternatif, yang penting disini, sasaran berjaya dilumpuhkan. Sekiranyanya ingin memboikot Intel, maka AMD menjadi pilihan alternatif, yang penting sasaran berjaya dilumpuhkan. Kembali kepada kaedah usul 'sekiranya tidak dapat semua, jangan tinggal semua'.


Kedua, sasaran tempoh. Berapa lama tempoh boikot? 2 bulan, 3 bulan, setahun atau selama-lamanya..? Tempoh boleh dijadikan senjata ugutan terhadap yang diboikot. Rasanya kalau betul-betul kempen boikot berjalan selama 6 bulan secara menyeluruh, pastinya 'matlamat' yang kita bincangkan tadi berjaya, InsyaAllah. Apa yang penting disini adalah sasaran tempoh dan ianya akan menjadi kayu ukur terhadap kejayaan kempen.

Selamat Memboikot
Hancur Zionis!!!

Maklumat lanjut, klik disini: http://zhafran-alfaruq.blogspot.com/2009/01/boikot-perlu-ada-matlamat-dan-sasaran.html

Isnin, Januari 05, 2009

KEMPEN BOIKOT BARANGAN YAHUDI


Dengan nama Allah swt dan Nabi Muhammad saw pesuruhnya dan diatas nama persaudaraan umat islam seluruh dunia, oleh itu kami seluruh ahli jawatankuasa Komuniti Teman Inteam yang baru dibawah kendalian saudara Abu Afham sebulat suara melancarkan DEKLARASI:KEMPEN KOMUNITI TEMAN INTEAM MEMBOIKOT SEMUA BARANGAN KELUARAN YAHUDI. Justeru Komuniti Teman Inteam menyeru seluruh warga komuniti ini dan komuniti komuniti lain di luar sana untuk berganding bahu memboikot atau dalam bahasa mudahnya tidak membeli lagi semua barangan-barangan yang dikenal pasti membantu secara langsung atau tidak langsung didalam membantu rejim zionis laknatullah. Atas kesedaran bahawa seluruh umat islam itu bersaudara maka sewajarnyalah sahabat-sahabat membantu dalam kempen ini.
Telah berkata Dr Yusuf Al-Qardhawi yang mewakili Ketua Ulama' Sedunia Boikot Barangan Israel! Bismillahirrahmanirrahim.."Wahai kaum Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia, memboikot produk-produk buatan Israel dan Amerika adalah kewajipan bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia. Setiap ringgit yang kita bayarkan untuk sebotol Coca-Cola misalnya, akan menjadi sebutir peluru di dalam senjata orang-orang Amerika atau Israel yang akan diacu ke arah kita. Kita telah menyumbangkan wang kita setiap hari kepada McDonalds, KFC, Burger King dsb, tanpa memikirkan ke mana wang itu akan dibelanjakan.Menurut pendapat saya, setiap Muslim harus bertanggungjawab dalam hal yang mempengaruhi keluarga dan gaya hidup mereka. Lihatlah kepada orang-orang Amerika yang telah membatalkan (veto) resolusi PBB untuk mengutuk aksi tentera Israel di Palestin. Jika mereka itu adalah pemelihara perdamaian seperti yang mereka dakwa, apakah mungkin mereka melakukannya (membatalkan resolusi PBB)?Wahai manusia, tidakkah anda berfikir? Tidakkah anda memiliki perasaan lagi? Tidakkah anda merasakan kepahitan negara-negara Arab dan Islam dalam hal ini? Darah yang paling murah adalah darah kita! Kita telah menjadi bahan percubaan bagi senjata-senjata dan peluru-peluru serta teknologi mereka. Persenjataan perang ini dibiayai oleh kita, dalam gaya hidup konsumerisme yang mereka paksakan ke atas kita.Saya bertanya kepada anda semua, dengan nama Allah. Saya bertanya pada anda semua, atas nama ribuan orang yang mati di tangan pengganas-pengganas itu pada tahun 1948, 1967, 1973 di Qana, di Dir Yassin, di Bahr al-Bakar semenanjung Gaza dan di al-Quds. Saya bertanya kepada anda semua, atas nama orang yang mati syahid untuk kehormatan kita. Saya bertanya ke atas anda, atas nama seorang anak kecil bernama Muhammad al-Durrah, yang syahid dalam pelukan ayahnya ditembusi peluru-peluru, dari wang yang telah kita sumbangkan kepada mereka.Apakah akan jadi kepada kita? Kita memiliki mata yang tidak dapat kita gunakan untuk melihat. Kita memiliki telinga, tetapi kita tidak gunakan untuk mendengar. Kita memiliki hati, tetapi tidak lagi dapat merasai. Mereka telah menjadikan kita sebagai pengguna-pengguna yang buta, yang rela membayar wang untuk membiayai senjata mereka, untuk mendukung aksi keganasan mereka di dunia Arab dan Islam. Boikot mereka sekarang! Sekarang atau peluang ini tidak muncul lagi selamanya! Dunia Arab dan Islam harus bersatu agar menjadi kuat. Kembali dan siapkan persenjataan kita. Kembalikanlah dan bangunkanlah ekonomi kita agar kita dapat menghancurkan mereka.
Allahu Akbar!!" - Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, 8 Oktober 2001 (Qatar)

Sabtu, September 20, 2008

PROJEK TERKINI


Saya sebenarnya dalam proses menyiapkan satu projek yang boleh saya sifatkan sebagai 'projek mega' untuk syarikat saya dan rakan. 70% telah siap. InsyaALLAH, kami sedang berusaha kuat untuk siapkan projek ini sebelum Syawal. Beberapa perancangan untuk projek-projek akan datang telah saya kenal pasti dan teliti. Saya pohon doa kalian semua agar projek ini berjaya diusahakan dengan jayanya. Moga niat kami untuk memperkasakan ekonomi Islam akan termakbul.

Saya berdoa, memohon agar ALLAH jadikan setiap orang Muslim yang menceburi bidang bisnes menjadi hartawan yang dermawan seperti Abd Rahman Bin Auf dan warak seperti Saidina Abu Bakar As-siddiq.

BERSAMA MEMPERKASAKAN EKONOMI ISLAM

Selasa, Januari 15, 2008

ARTIKEL INI DARI WEBSITE USTAZ ZAHARUDDIN

Assalamualaikum,
Saya nak tanya tentang suatu pelaburan yang berbentuk piramid. Baru-baru ini saya ada masuk, modalnya cuma RM30.00. Caranya ialah dengan membeli wang pos berjumlah RM5.00 setiap satu dan enam keping. Setiap satunya hendaklah ditulis dengan nama si penerima 'di atas' kita dan ini merupakan sumbangan ikhlas drpd kita. Kemudian setelah nama kita tersenarai, kita mencari ahli-ahli baru pula di bawah dan giliran kita pula mendapat sumbangan RM5.00 drpd ahli di bawah. Dalam masa sebulan berbelas-belas keping wang pos yg diterima yang berjumlah beratus-ratus ringgit.
Soalannya, apakah hukum menerima duit tersebut?Pelaburannya cuma RM30.00 tetapi pulangannya agak lumayan.
Saya banyak mendapat ilmu ttg ekonomi Islam drpd tulisan-tulisan ustaz di media. Semoga Ustaz dpt menjawab e-mel saya dan saya merakamkan jutaan terima kasih.
"Hidup Islam"

JAWAPAN
wa'alaikumussalam,
setelah membaca penerangan anda di bawah.
Jelas kepada saya bahawa ia adalah pelaburan yang tidak halal di sisi Islam. Ia juga bukanlah pelaburan.
Ini kerana rukun pelaburan islam di bawah konsep mudarabah dan musharakah adalah : -
1) Wang pelaburan dalam jumlah tepat dan diketahui
2) Pelabur
3) Pengusaha
4) Bisnes yang halal / Pekerjaannya
Antara syarat sahnya pula :-
1) Nisbah pembahagian keuntungan yang dipersetujui bersama.
2) Tiada jaminan modal selamat.
3) Tiada jaminan untung tertentu atau tidak tertentu.
Jika dilihat, salah satu rukun dalam pelaburan Islam atas asas mudarabah dan musyarakah adalah mestilah mempunyai satu perniagaan yang halal serta terbuka kpd untung dan rugi. Dalam kes anda, duit pelabur ( peserta iaitu dalam bentuk wang pos itu) adalah untuk melabur dalam perniagaan itu..tetapi taida perniagaan tertentu, malah pelaburan itu pula dianggap sumber mendapat untung, atau dalam kata lain, 'pelaburan' atau duit penyertaan terkumpul itu adalah dianggap bisnes dan keuntungannya, lalu manakah perniagaannya sebagaimana yang disyaratkan? apa produknya? mana pula "profit sharing ratio" nye? ..maka ini jelas tidak menepati rukun pelaburan dalam Islam.
Produk menjual pusingan dan piramid penyertaan adalah tidak diteruima oleh Islam.
Ringkasnya, ia seperti sistem piramid yang mengambil keuntungan di atas jumlah orang yang masuk di bawah. Dalam bentuk yang anda berikan, ia jelas tidak dibenarkan.
Akhir sekali, terima kasih kerana memanfaatkan tulisan saya. Silalah membacanya lanjut di http://www.zaharuddin.com/
Sekian
Ust Zaharuddin Abd Rahman

Khamis, Disember 27, 2007

BISNES MESTI KREATIF!


"Aku cadang nak buat bisnes tapi tak tahu nak buat bisnes apa"
"Nak buat bisnes jual air, dah banyak orang jual air"
"Tunggu sahaja. Ada rezeki nanti, kayalah aku!"

Itulah kata-kata yang terpacul dari mulut kenalan saya ketika kami berborak berkaitan bisnes. Saya pun tidaklah begitu pandai dalam dunia bisnes. Cuma mungkin pengalaman lalu dan buku-buku motivasi bisnes yang acapkali saya baca membuatkan saya sentiasa bermotivasi untuk membuat bisnes. Saya pernah gagal dalam bisnes. Namun ia sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus maju ke hadapan.
Jika anda minat berniaga tapi tidak tahu nak berniaga apa, saya sarankan anda rehatkan diri anda seketika, ambil sebatang pen beserta sehelai kertas dan mula senaraikan kemahiran yang ada dalam diri anda. Kenali potensi anda. Kebanyakan usahawan yang berjaya mempunyai bisnes berdasarkan kemahiran atau potensi diri mereka sendiri. Cikgu Abu Hassan Morad yang gemar menulis mempunyai sebuah syarikat penerbitan sendiri, Galeri Ilmu sdn Bhd. Chef Ismail yang pakar dalam masak memasak mempunyai Restoran Rebung yang dikongsi bersama Angkasawan Negara Pertama, Dr Sheikh Muszaphar Shukor. Mulakan bisnes anda berdasarkan kepakaran anda. Ia lebih baik untuk jangka masa panjang kerana anda tidak akan mudah bosan dalam bisnes anda nanti. Apabila anda menjalankan bisnes berdasarkan minat dan kepakaran anda, anda tidak akan mudah menyerah kalah dan akan sentiasa memperbaiki kemahiran anda hari demi hari. Semangat nak berbisnes pun tinggi sebab bisnes itu anda sendiri yang jalankan dan berdasarkan minat serta kepakaran anda! Bisnes itulah yang akan melambangkan diri anda!
Jangan gusar jika bisnes yang anda mahu lakukan itu telahpun diceburi oleh ramai orang. Sebaliknya, anda kena tunjukkan pada pembeli bahawa walaupun bisnes anda baru tapi ia kreatif, menampilkan sesuatu yang unik dan berkualiti tinggi. Lihat saja donat J.Co yang seakan menjadi satu fenomena di Malaysia apabila ia dibuka di Pavillion baru-baru ini. Biarpun perniagaan donat ini telah dipelopori oleh Dunkin Donut tapi J.Co tampil ke dunia perniagaan donat dengan keistimewaannya yang tersendiri. Keunikan dan kekreatifan inilah yang patut ada dalam setiap perniagaan yang anda akan buka. Zaman pun dan canggih, bisnes anda pun mestilah selari dengan peredaran zaman. Kalau mahu buat bisnes lama sekalipun, berilah nafas baru!
Akhir sekali, ingatlah wahai pembaca sekalian, janganlah hanya mengharapkan rezeki datang bergolek-golek didepan mata anda dengan sendirinya. Usahalah untuk mendapatkannya. Allah pun dah bagitahu awal-awal dalam Kitab Agungnya, Al-Quran mafhumnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri yang mengubahnya!

Tunggu apa lagi? Bak kata iklan Celcom, KUASA DITANGAN ANDA!

Khamis, September 20, 2007

BISNES DI BULAN RAMADHAN


Betapa barakahnya bulan Ramadhan ini hinggakan ramai orang boleh jadi Orang Kaya Baru (OKB) dalam bulan ini. Di Bazaar Ramadhan, kita dapat lihat betapa ramainya orang berniaga. Walaupun sebelum ini tidak pernah berniaga pun, tapi Ramadhan punya pasal, orang tak pandai berniaga pun boleh pandai.

Skop perniagaan cukup luas. Makanan, pakaian, alat kelengkapan ibadah, album nasyid, pelita tak lupa juga buku agama! Disinilah peluang yang terbuka luas untuk anda 'test market' dan menguji bakat berniaga anda.

Tak semestinya bila nak berniaga, anda perlu buka meja, pasang payung dan sewa tapak di bazaar Ramadhan tu. Anda juga boleh jadi "ahli mesyuarat tingkap" yang menjual barang-barang jualan anda kepada jiran-jiran terdekat dan orang sekitar kawasan perumahan anda. Jimat kos. Anda juga boleh buat satu katalog dan pas kat kawan-kawan anda di pejabat. (Pastikan waktu rehat sahaja) Tidak dilupakan melalui medium yang cukup popular belakangan ini, internet! Dengan menggunakan kaedah yang saya sebut tadi, anda dapat jimatkan kos. Rakan-rakan dan jiran-jiran anda juga sebenarnya adalah 'promoter terbaik' sekiranya mereka berpuas hati dengan kualiti barangan anda dan berasa puas berurusniaga dengan anda. Saya yakin mereka akan sebarkan kepada rakan-rakan mereka tentang produk anda dan kepuasan berurusniaga dengan anda. (Sebagai penjual, saya pernah alaminya!)

Luaskan jaringan perniagaan anda! Tak semestinya kalau nak berniaga kena berniaga di bazaar Ramadhan sahaja kan?

Khamis, Ogos 23, 2007

JUAL PETAI DAPAT BASIKAL BMX


Sejak dari kecil lagi, mama mengajar saya bahawa kalau mahukan sesuatu, usaha dahulu untuk mendapatkannya. Duit tidak akan datang dari langit. Perkara ini mengingatkan saya kepada pengalaman pertama kali saya berniaga.

Sewaktu saya darjah 2, saya pergi ke sekolah dengan menaiki basikal. Maklumlah, sekolah agak dekat dengan rumah dan ramai kawan saya yang ke sekolah berbasikal. Jadi macam 'trend' pula waktu itu. Saya pun tunggang basikal saya buat kali pertama ke sekolah. Sampai sahaja di sekolah, saya dicemuh kawan-kawan gara-gara membawa 'basikal perempuan'. (Basikal perempuan merujuk kepada basikal yang mempunyai raga di depan) Punya la malu saya bukan kepalang. Saya lihat semua kawan saya memakai basikal BMX. Balik sahaja ke rumah, saya terus pergi ke dapur jumpa mama. "Along tak nak bawa basikal tu esok. Kawan along semua ejek along pondan sebab bawa basikal perempuan". Mama senyum dan berkata, "Basikal itu 'second hand' punya. Bawa sahaja. Cukup masa nanti, beli la basikal baru". Saya menarik muka masam kepada mama. Dalam hati, rasa gelisah menanti hari esok.

Esoknya, seperti biasa kata-kata pedas itu menusuk telinga saya. Malah lebih tajam dari semalam hinggakan saya rasa nak tumbuk seorang demi seorang. Tapi pesan babah supaya jangan bergaduh menyebabkan tangan saya terkaku untuk bergerak. (Babah saya seorang bekas tentera!). Apabila pulang dari sekolah, saya lihat berpapan-papan petai terlonggok di ruang tamu. Mama sedang ikat petai-petai tersebut menjadi beberapa ikat. "Pergi salin baju. Kalau along nak basikal BMX, pergi jual petai ini seringgit satu", kata mama. "Apa? Jual petai!!! Malu la along mama", jawab saya. Tapi disebabkan keinginan mahu menukar basikal itu terlalu membara, maka saya kuatkan diri. Dengan langkah yang longlai, saya bawa petai-petai tersebut keliling kampung. Pergi dari rumah ke rumah. Mula-mula rasa malu. Namun, bila seikat demi seikat laku, perasaan mula berbunga. Rasa seronok pula berniaga. Saya pulang semula ke rumah dengan membawa hasil. Petai? habis semua terjual! Esoknya saya jual pisang goreng yang digoreng mama. Lusa, jual air soya panas. (Mama memang pandai masak dan buat macam-macam walaupun dia seorang jururawat). Sedar tak sedar, pada suatu petang, ketika saya pulang dari sekolah, saya lihat ada sebuah basikal BMX di halaman rumah saya. Apa lagi, menjerit tak terkata. Seronok!

Itulah pengalaman pertama saya berniaga. Jual petai! Dari situ, saya belajar, bukan mudah untuk kita dapatkan sesuatu. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya. Jangan hanya pandai meminta. Babah dan mama saya sebenarnya mampu belikan basikal BMX untuk saya tapi mereka tidak sewenang-wenangnya membelikan basikal itu kerana mereka mahu saya belajar asas kehidupan. Atas ajaran pertama inilah saya bina semangat untuk terus berniaga hinggalah sekarang. Kalau ikut bahasa kampung, cakap berniaga la. Tapi kalau nak 'kelas' sikit, cakap bisnes! hehe.

Mama dan Babah adalah guru yang terbaik! Terima kasih mama! Terima kasih babah!
Ya Allah, aku syukur pada kurniaanMu ini.

Jumaat, Ogos 17, 2007

BAJET BULANAN




"Saudara ada bajet bulanan untuk saudara sekeluarga?", tanya A kepada B.
"Bajet bulanan? Keluarga saya kecil sahaja. Tak perlu bajet bulanan. Ada duit, beli. Tak ada duit, tak perlu beli." Jawab B bersahaja.

Bajet Bulanan penting untuk menguruskan kewangan seseorang supaya sentiasa berada dalam keadaan stabil. Kita cuma perlu beberapa minit sahaja untuk diluangkan membuat Bajet Bulanan ini yang mampu membuat anda untung berbulan-bulan lamanya. Nampak tak 'pelaburan' yang telah anda buat? Beberapa minit yang anda luangkan mampu memberikan anda keuntungan berbualn-bulan! Dengan Bajet Bulanan, kita dapat mengawal aliran keluar duit. Kita tahu kemana duit kita disalurkan setiap bulan. Dalam Bajet Bulanan juga, kita dapat rancang kewangan kita untuk jangka masa panjang. Kita boleh rancang bila mahu beli kereta, tanah, rumah dan sebagainya. Ini mampu meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan nada.
Jika sebelum ini, anda hanya mampu memakai Proton Waja, dengan perancangan
kewangan yang teliti dan berdisiplin, anda mampu membeli sebuah Proton Perdana
V6 yang baru! kan untung tu.


Orang yang tidak membuat atau mempunyai Bajet Bulanan, mereka sering mempunyai masalah kewangan yang agak kronik. Baru dapat gaji, tak sampai tengah bulan, duit sudah habis. Akhirnya, 'Along' yang bertindak sebagai 'ATM Machine' menghulur bantuan. Tapi awas, bantuan dia tidak pernah percuma! Anda perlu membayar semula beserta 'bunga'nya sekali. Ketiadaan Bajet Bulanan juga membuat seseorang berada di takuk yang lama. Tiada sebarang perubahan dalam dirinya walau telah hampir 20tahun bekerja makan gaji! Orang lain 20 tahun makan gaji telah berjaya membeli sebuah rumah kos sederhana dengan sebuah kereta Proton Pesona. Jadi, apa kata untuk pendapatan anda yang seterusnya, anda buat Bajet Bulanan anda sendiri. Tak ambil masa yang lama. Yang penting, anda duduk dalam keadaan yang tenang dan mula menulis segala perbelanjaan anda pada bulan itu. Jangan lupa, dalam bajet itu nanti, jangan belanjakan semua! Tinggalkan dalam RM200-RM400 sebagai persediaan menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini untuk bulan itu. Jika tiada apa-apa berlaku, maka duit itu anda boleh simpan dalam bank. Cukup masa, boleh beli rumah banglow sebiji! =)