Halaman

Memaparkan catatan dengan label MOTIVATE YOURSELF. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MOTIVATE YOURSELF. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 09, 2011

Nak Kurus Ke?

Gambar saya baru selesai berjogging di Menara Tinjau, Taman Metropolitan Kepong.

"Sejak bulan lepas, rajin betul kau beriadah. Kau mahu kurus ke?" -Rayyan
"Rajin betul awak pergi Taman Botani Shah Alam untuk berbasikal. Tak penat ke?" -Qaisara

Saya akui, sejak 2,3 bulan ini, memang saya 'terlebih' rajin untuk bersukan dan melakukan aktiviti riadah. Jika berkelapangan, saya akan berjogging di Taman Metropolitan Kepong, berbasikal di Taman Botani Negara, Shah Alam mahupun melakukan senaman ringan di bilik. Saya sudah jadikan aktiviti-aktiviti ini sebagai sebahagian daripada rutin harian saya. =)

Nak kurus?
Jawapannya, kurus adalah bonus tetapi ia bukan matlamat utama. Kurus pun, kalau kolestrol dalam badan tinggi, tak guna juga. Sebenarnya, saya rasa terpanggil untuk menjalani kehidupan sihat ini setelah melihat ramai kenalan saya mula menghidapi sakit itu, sakit ini. MashaALLAH, memang sedikit mengerikan apabila mendengar cerita mereka.

Diabetis di usia 19 tahun!
Ada seorang junior saya mengidap penyakit kencing manis (diabetis) di usia muda- 19 tahun! Dia seorang lelaki yang agak kacak dan pandai bergaya. Walaupun dia seorang yang aktif tetapi dia mempunyai tabiat yang kurang sihat iaitu merokok dan gemar minum minuman manis terutama Coke. Kesannya, dia terpaksa menjalani kehidupan sebagai pesakit diabetis diusia yang begitu muda.

Gaya 'pakcik-pakcik' walaupun masih berusia 21 tahun!
Seorang kenalan saya memiliki berat badan melebihi 130kg. Dia mengalami masalah obesiti yang serius. Dia sering kelihatan penat, tidak bermaya, berpeluh-peluh malah berpenampilan seperti 'pakcik-pakcik' yang berusia 40 tahun ke atas sedangkan dia baru berumur 21 tahun. Apabila ditanya, dia memberitahu yang dia jarang bersukan dan tidak mengawal pemakanannya.

Sakit buah pinggang
Kenalan saya ini sudah berumah tangga dan memiliki seorang anak perempuan yang baru berusia setahun. Sedihnya, awal April tahun ini dia pengsan ketika sedang bekerja. Rakan-rakan sekerjanya membawa dia ke hospital dan dia ditahan di hospital selama beberapa hari. Sewaktu saya menziarahi dia di hospital, dia memberitahu yang doktor mengesahkan dia menghidapi penyakit buah pinggang tahap kronik yang menyebabkan dia terpaksa menjalani cuci buah pinggang atau dialisis untuk sepanjang hidupnya. Menurut dia lagi, dia tidak pernah tahu yang dia menghidapi penyakit buah pinggang ini sehinggalah kejadian dia pengsan dan dimasukkan ke hospital.

Sebenarnya, ada lagi kisah-kisah kenalan saya yang membuat saya tersentak mendengarnya. Tetapi, cukuplah 3 cerita ini sahaja untuk saya kongsikan. Sejak itu, saya bertekad untuk menjalani kehidupan yang sihat. Saya menjaga pemakanan saya. Setiap makanan yang saya ambil, saya akan pastikan ianya kurang kolestrol, bersaiz sederhana dan berkhasiat. Saya juga memperuntukkan sedikit wang untuk membeli supplemen tambahan seperti Vitamin C dan lain-lain sebagai makanan tambahan untuk badan saya. Saya juga menyusun jadual saya dan menyediakan waktu bersukan supaya badan saya cergas dan sihat.

Mulakanlah dari sekarang! Jalani kehidupan yang sihat. Berpenampilan cantik, kurus itu bonus. Yang lebih utama ialah SIHAT! =) 


Rabu, Jun 22, 2011

Anda Adalah Hero Dalam Kisah Anda!

*Artikel ini disiarkan di StudioMuslim.Com

Acapkali kita dihidangkan dengan filem-filem yang menjadikan lelaki paling kacak dan gagah sebagai hero. Selain rupa paras yang tampan ala-ala Shaheizy Sam, watak hero dalam sesebuah filem dijadikan taruhan utama untuk menarik bilangan penonton yang ramai, menonton filem tersebut. Hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi acuan minda penonton yang hanya akan mengagung-agungkan sifat-sifat hero yang plastik. Pak Jabit? Jangan haraplah dia akan dijadikan hero!

Po Yang Mengagumkan!
Kalau anda menonton filem animasi Kungfu Panda, pastinya dimensi pemikiran anda berubah apabila melihat Beruang Panda yang berbadan besar dijadikan hero untuk filem ini! Po merupakan seekor beruang panda yang sangat teruja untuk mempelajari kungfu. Walaupun mempunyai tubuh badan yang gempal, Po tidak pernah menjadikan ia sebagai satu penghalang untuk beliau mempelajari kungfu.

Walaupun dipandang rendah oleh rakan-rakannya diawal pemilihannya menjadi Dragon Warrior, Po tidak pernah berputus asa malah minat yang mendalam untuk mempelajari kungfu dimaksimumkan. Akhirnya beliau berjaya dan menjadi hero dalam cerita tersebut.

Kalau diukur dari aspek fizikal, mungkin Po dilihat sebagai seorang ‘loser’ dari pelbagai sudut. Tetapi Po memilih untuk memaksimumkan kelebihannya sehingga kekurangan dirinya tenggelam dan tidak kelihatan.

Jadilah seperti Po!
Po adalah tauladan terbaik bagi mereka yang sering berasa rendah diri dengan kekurangan diri sendiri. Mengapa perlu memberi fokus pada kekurangan diri anda sehinggakan potensi yang sepatutnya digilap menjadi malap? Jadilah seperti Po! Serlahkan potensi yang anda miliki untuk berjaya dalam hidup. Mengapa memilih untuk jadi orang biasa sedangkan kita diciptakan untuk menjadi yang luarbiasa!

Anda Adalah Hero Dalam Kisah Anda!
Ubah dimensi pemikiran anda. Ambil sehelai kertas dan catatkan kelebihan serta potensi yang ada pada diri anda. Serlahkan potensi tersebut semaksimum mungkin dan jadilah hero dalam kisah anda!

Jumaat, Januari 15, 2010

BACA@LRT 16/01/10



Mari hangatkan kempen BACA@LRT yang julung kalinya diadakan di Malaysia!

Tarikh: 16 Januari 2010
Hari: Sabtu
Masa: 9.30pagi
Tempat: LRT Stesen Terminal Putra.

Butiran tentatif adalah seperti berikut:

9.35: berkumpul di Platform Terminal Putera Gombak.

Tiada taklimat yang akan diberikan pada masa tersebut bagi mencipta natural setting. Seperti ini aktiviti bukan dirancang. namun anda boleh menegur rakan-rakan yang dikenali. Katakunci: "natural"

Bagi mudah dikenali oleh yang lain, pegang buku, majalah atau bahan bacaan masing-masing.

Pastikan sebelum 10.00: beli tiket ke destinasi pilihan masing-masing dan masuk ke platform.

10.00 : beratur dan menaiki tren yang tiba. Kedudukan adalah bebas samada berdiri ataupun duduk dan juga terpulang kepada pintu dan gerabak pilihan masing-masing.

Jika terlepas tren, naik sahaja tren berikutnya. Teruskan aktiviti membaca. Jumpa di platform Kelana Jaya.

10.45 : Tiba di Kelana Jaya. Keluar dari tren dan berkumpul di platform untuk rehat dan bertukar-tukar pengalaman selama 15 minit.

11.00 : Naik tren semula dan menuju ke destinasi masing-masing.

* Bookmark akan diberi di stesen kelana jaya, semoga Allah permudahkan usaha ini. rasional: untuk mengukuhkan lagi natural setting.

** Penyokong digalak hadir awal bagi memudahkan pembelian tiket di kaunter dan selesa kepada semua.

*** Daftar secara rasmi disini: DAFTAR

Maklumat bergambar dapat di lihat di Fan Page Facebook Baca@LRT

Khamis, April 09, 2009

MENGENALI MOHD KHAIRUL DAIM BIN AHMAD SHAMSURI


TERUJA

Alhamdulillah, sewaktu konvokesyen UIAM tahun lepas (2008), saya berpeluang bergambar dengan Saudara Mohd Khairul Daim Bin Ahmad Shamsuri. Saya tidak pernah bergambar dengan mana-mana graduan yang berpakaian formal graduasi (jubah konvokesyen lengkap dengan topi). Inilah kali pertama. Saya rasa seronok sangat waktu itu. Tambahan pula, saya bergambar dengan Mahasiswa Terbaik Undang-undang UIAM!

ROOMATE YANG TIDAK RUMIT

Saya berpeluang mengenali Saudara Mohd Khairul Daim ini atau nama panggilannya Abang Daim sewaktu saya menjadi pelajar tahun 1 di UIAM Gombak. Pada waktu itu, saya dipilih oleh ALLAH SWT untuk tinggal di bilik D2.6, Mahallah Bilal, satu bilik dengan Abang Daim. (Bilik di UIA ini dibahagikan kepada 4 bahagian atau compartment). Abang Daim ini rajin. Hendak kata ulat buku, mungkin tidak. Beliau bukan seorang yang mengadap buku sepanjang masa. Ada juga masanya untuk beriadah, keluar bersama rakan-rakan dan sebagainya. Tetapi, beliau konsisten dalam menelaah pelajaran. Setiap hari, paling kurang 2 jam beliau akan menelaah pelajaran. (ini yang saya nampak). Menjadi roomate kepada beliau memberi peluang kepada saya untuk bertanyakan pelbagai jenis soalan undang-undang yang bermain di benak pemikiran saya. Maklumlah, saya 'terpisah' dengan rakan batch saya yang tinggal di mahallah lain. Untung juga duduk satu bilik dengan senior. Abang Daim selalu kongsi pelbagai ilmu, tips-tips yang berguna dan pengalaman-pengalaman beliau sepanjang berada di UIAM. Beliau seorang yang mudah untuk didekati dan mesra dalam bersahabat. Seorang roomate yang tidak pernah membawa masalah tetapi sering menyelesaikan masalah!

PELAJAR TERBAIK UNDANG-UNDANG

Abang Daim telah dianugerahkan Pelajar Terbaik Undang-Undang UIAM pada Majlis Konvokesyen UIAM 2008. He deserved to get it! Kagum melihat roomate sendiri berjaya. Lebih mengkagumkan apabila saya berpeluang untuk melihat perjalanan hidup beliau seharian selama saya duduk di bilik tersebut. Walaupun sekarang ini, saya tidak lagi menjadi roomate beliau, tetapi saya masih berhubung dengannya untuk bertanyakan soalan-soalan undang-undang. Beliau merupakan sifu saya! Pemangkin motivasi saya untuk terus maju dan maju dalam pelajaran.

Masa depan beliau cerah, insya ALLAH. Saya berdoa moga saya juga berpeluang untuk memakai jubah konvokesyen yang sama beserta 'title' yang sama di hari konvokesyen saya kelak! Ameen.

p/s: Gambar ini dirakam pada tahun lepas. (tahun lepas saya agak berisi sedikit berbanding tahun ini). hehe.

Selasa, Mac 10, 2009

KATA PUJANGGA 2



Watch your thoughts, they become words...

Watch your words, they become actions...

Watch your actions, they become habits...

Watch your habits, they become character...


WATCH YOUR CHARACTER, FOR IT BECOMES YOUR DESTINY!

Khamis, Julai 03, 2008

Selasa, Jun 03, 2008

THE POWER OF IMAGINATION


Menurut kajian sekumpulan saintis barat, sistem neuron manusia gagal untuk membezakan diantara imaginasi dan realiti. Seorang lelaki berusia 50an yang aktif bekerja tiba-tiba diserang strok. Doktor yang merawat mengesahkan bahawa beliau akan lumpuh seluruh badan untuk seumur hidup. Lelaki ini tidak mempercayai kata-kata doktor tersebut. Setiap hari beliau membayangkan yang beliau kembali menjalani kehidupan normalnya seperti bekerja, berjalan-jalan dan sebagainya. Tidak sampai setahun, lelaki ini telah berjaya menjalani kehidupan normalnya dan dia kini telah sembuh dari penyakit stroknya! Doktor yang merawat beliau menyifatkan kejadian ini sebagai satu yang ajaib!

"You are what you think"



Fikirkan Boleh

Jika kau fikirkan kau boleh
Kau hampir boleh melakukan
Jika kau fikirkan ragu-ragu
Usahamu tidak menentu

Jika kau fikirkan kekalahan
Kau hampiri kegagalan
Jika kau fikirkan kemenangan
Kau hampiri kejayaan

Engkaulah apa kau fikirkan
Terkandung dalam pemikiran
Berfikir boleh melakukan
Fikirkan boleh

Percaya apa kau lakukan
Tabah apa kau usahakan
Bertindak atas kemampuan
Engkau boleh!

P/s: Mulai hari ini, gambarkan kejayaan-kejayaan yang ingin anda kecapi dalam hidup anda dan berusahalah untuk mencapainya! Jangan angan-angan Mat Jenin.

Selasa, Mac 18, 2008

KAWAN MOTIVASI TERBAIK!



Untuk mendapatkan kualiti kerja atau belajar yang baik, anda mestilah memotivasikan diri anda sebaik mungkin. Sebaik-baiknya, motivasi itu mestilah berkekalan. Anda boleh memotivasikan diri anda sendiri tanpa perlu kerap ke program motivasi.

Selalunya, program motivasi yang dianjurkan memberi anda teori yang terbaik untuk anda berjaya melakukan sesuatu. Ia juga memberi anda medium untuk merasai sendiri kesan positif dari transformasi yang bakal anda lakukan setelah mendengar ceramah motivasi yang disampaikan. Teori yang diberi tidak akan bermanfaat jika anda tidak praktikkan sebaik mungkin. Pengamalan yang berterusan juga mampu menjana kekuatan spiritual anda supaya terus dalam keadaan bermotivasi.

Memotivasikan diri sendiri boleh dilakukan dengan mudah apabila anda menggunakan segala apa yang ada disekeliling anda sebagai satu bentuk motivasi untuk anda. Lihat segala yang ada disisi anda dengan pandangan positif. Sebagai contoh, kita ambil rakan yang ada disekeliling anda sebagai satu motivasi terbaik. Apabila melihat kejayaan seorang rakan anda dalam peperiksaan, jadikan dirinya sebagai sumber inspirasi untuk berjaya agar anda menjadi hebat atau lebih hebat dari dia. Lihat segala perbuatan atau amalan baik yang dilakukan untuk berjaya dan cuba amalkan. Tak dapat amalkan semua, amalkan yang termampu pun sudah memadai.

Jika anda melihat kawan anda yang berjaya dengan pandangan negatif, anda tidak akan memperolehi faedah daripadanya malah ianya membuatkan anda rasa iri hati, cemburu dan hasad dengki. Ianya boleh diumpamakan sebagai anda mahu meracuni dia dengan anda yang meminum racun tersebut. Dia tidak terkesan apa-apa namun anda yang menerima padahnya.

Mulai sekarang, cuba lihat insan-insan disekeliling anda. Kenal pasti mereka yang cemerlang dalam bidang yang anda ceburi dan contohilah mereka. Inilah masanya untuk bertindak kerana teori telah tersedia untuk anda!

p/s: saya menjadikan insan-insan yang berjaya sebagai mentor saya. Antara mentor-mentor terbaik saya adalah, SifuPTS, Tuan Shamsuddin Kadir, Tuan Fadzli Yusof, Tuan Amin Idris (pengantin baru ni), Tuan Osman Affan, Irfan Khairi, Inteam dan ramai lagi. Mentor saya memang ramai kerana saya berhasrat menggabungkan kehebatan mereka menjadi satu = Husaini Hussein! hehe

Sabtu, Mac 15, 2008

MOTIVATE YOURSELF

PENGENALAN

Ujian adalah lumrah bagi setiap manusia. Tanpa ujian dari Allah, pasti kita tidak akan belajar erti hidup yang sebenar. Saya sendiri tidak pernah terlepas dari pelbagai ujian berat yang menimpa diri. Dugaan demi dugaan yang ditempuh, pada mulanya saya anggap sebagai satu penghalang buat saya untuk terus berjaya. Namun, Allah lebih mengetahui yang terbaik buat hambaNya. Ujian yang diberi, sebenarnya bertujuan mematangkan diri kita. Ia membawa kita ke satu tahap yang lebih tinggi dari sebelumnya. Kadang-kadang motivasi diri menjadi kurang apabila ujian melanda. Maka, tidak hairanlah mengapa masalah yang kecil boleh menjadi besar kepada seseorang individu. Justeru, dalam ruangan ini, saya akan kongsikan dengan anda cara yang saya amalkan selama ini untuk memotivasikan diri saya setiap hari. Ya, saya memotivasikan diri saya setiap hari supaya kualiti kerja dan belajar saya menjadi semakin baik dari sebelumnya. Saya harap, dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada anda semua.
Bak kata *Prof Izzi Haji Ali, “Renung-renungkan dan Selamat Beramal!

*Profesor Madya Haji Md Izzudin Haji Ali.