Halaman

Khamis, Ogos 23, 2007

JUAL PETAI DAPAT BASIKAL BMX


Sejak dari kecil lagi, mama mengajar saya bahawa kalau mahukan sesuatu, usaha dahulu untuk mendapatkannya. Duit tidak akan datang dari langit. Perkara ini mengingatkan saya kepada pengalaman pertama kali saya berniaga.

Sewaktu saya darjah 2, saya pergi ke sekolah dengan menaiki basikal. Maklumlah, sekolah agak dekat dengan rumah dan ramai kawan saya yang ke sekolah berbasikal. Jadi macam 'trend' pula waktu itu. Saya pun tunggang basikal saya buat kali pertama ke sekolah. Sampai sahaja di sekolah, saya dicemuh kawan-kawan gara-gara membawa 'basikal perempuan'. (Basikal perempuan merujuk kepada basikal yang mempunyai raga di depan) Punya la malu saya bukan kepalang. Saya lihat semua kawan saya memakai basikal BMX. Balik sahaja ke rumah, saya terus pergi ke dapur jumpa mama. "Along tak nak bawa basikal tu esok. Kawan along semua ejek along pondan sebab bawa basikal perempuan". Mama senyum dan berkata, "Basikal itu 'second hand' punya. Bawa sahaja. Cukup masa nanti, beli la basikal baru". Saya menarik muka masam kepada mama. Dalam hati, rasa gelisah menanti hari esok.

Esoknya, seperti biasa kata-kata pedas itu menusuk telinga saya. Malah lebih tajam dari semalam hinggakan saya rasa nak tumbuk seorang demi seorang. Tapi pesan babah supaya jangan bergaduh menyebabkan tangan saya terkaku untuk bergerak. (Babah saya seorang bekas tentera!). Apabila pulang dari sekolah, saya lihat berpapan-papan petai terlonggok di ruang tamu. Mama sedang ikat petai-petai tersebut menjadi beberapa ikat. "Pergi salin baju. Kalau along nak basikal BMX, pergi jual petai ini seringgit satu", kata mama. "Apa? Jual petai!!! Malu la along mama", jawab saya. Tapi disebabkan keinginan mahu menukar basikal itu terlalu membara, maka saya kuatkan diri. Dengan langkah yang longlai, saya bawa petai-petai tersebut keliling kampung. Pergi dari rumah ke rumah. Mula-mula rasa malu. Namun, bila seikat demi seikat laku, perasaan mula berbunga. Rasa seronok pula berniaga. Saya pulang semula ke rumah dengan membawa hasil. Petai? habis semua terjual! Esoknya saya jual pisang goreng yang digoreng mama. Lusa, jual air soya panas. (Mama memang pandai masak dan buat macam-macam walaupun dia seorang jururawat). Sedar tak sedar, pada suatu petang, ketika saya pulang dari sekolah, saya lihat ada sebuah basikal BMX di halaman rumah saya. Apa lagi, menjerit tak terkata. Seronok!

Itulah pengalaman pertama saya berniaga. Jual petai! Dari situ, saya belajar, bukan mudah untuk kita dapatkan sesuatu. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya. Jangan hanya pandai meminta. Babah dan mama saya sebenarnya mampu belikan basikal BMX untuk saya tapi mereka tidak sewenang-wenangnya membelikan basikal itu kerana mereka mahu saya belajar asas kehidupan. Atas ajaran pertama inilah saya bina semangat untuk terus berniaga hinggalah sekarang. Kalau ikut bahasa kampung, cakap berniaga la. Tapi kalau nak 'kelas' sikit, cakap bisnes! hehe.

Mama dan Babah adalah guru yang terbaik! Terima kasih mama! Terima kasih babah!
Ya Allah, aku syukur pada kurniaanMu ini.

6 ulasan:

khairnaj berkata...

salam akhi.

Saya pun mcm akhi jgk. selalu meniaga. ingat lagi waktu musim buah saya dgn adik2 jual buah depan rumah sampai dpt RM1ribu.

Azree MH berkata...

Huhu. Sangat menarik untuk dikongsi bersama.

Mohon izin ustaz Husaini untuk melakukan sedikit proses editing pada entri ini dan meletakkannya di blog saya.


P/s: Ustaz? Hehe.

Abu Afham berkata...

khairnaj, syok kan bisnes? hehe

azree mh, seorang penulis tersohor, saya berbesar hati jika saudara mahu melakukan proses editing pada entri saya dan letakkan di blog saudara. jasamu kukenang.

mujahid berkata...

salam abu afaham!!
posting yang menarik =)
amat menarik!!

Ayza Gursoy berkata...

Salam, sedap cerita ni.. teruskan menulis! :)

Shamsuddin Kadir berkata...

Tahniah di atas kejayaan Saudara Afham mencapai impian 'BMX' dengan bisnes. Insyaa-Allah impian yang lebih besar juga dapat dicapai dengan bisnes juga.

Teruskan berusaha dan jangan henti dari berniaga.