Halaman

Isnin, Februari 18, 2008

MAGNET DIRI UST AKHIL HAYY. BAJU PUN DAKWAH

Sabtu lepas saya berkunjung ke sebuah pameran kokurikulum di IPTA terkemuka negara. Di pameran tersebut, saya singgah di sebuah gerai untuk membeli donat yang sedang hangat di ibu kota terutama di Pavillion! Saya lihat seorang perempuan muda sedang sibuk melayani kerenah pelanggan-pelanggannya yang beratur panjang dari tadi. Saya dan rakan saya segera beratur kerana kami juga tidak mahu melepaskan peluang merasai sendiri donat yang popular dengan keenakkannya ini.

Apabila tiba giliran saya dan rakan, kami pun segera menunjuk donat yang menjadi pilihan kami. Namun, tatkala memandang tulisan yang tertera di t-shirt saya, perempuan muda tadi yang memakai tudung ala-ala 'mak datin' ini terus berpaling ke belakang dan membetulkan tudung dia. Rambut yang terjurai di dahi sudah tidak kelihatan lagi. Dengan senyum tersipu-sipu, perempuan tadi membungkus donat kami dan mengambil duit yang kami beri. Selepas memulangkan duit baki, kami beredar.

Rakan saya berkata, "Hebat penangan Ust Akhil Hayy ya. Tulisan nama dia pada baju pun boleh buat perempuan itu tersipu-sipu malu membetulkan tudung dia." Saya hanya tersenyum. Dalam hati, lepas ini saya kena beli beberapa helai baju t-shirt yang tertera nama AKHIL HAYY dan INTEAM dari Inteam Records Sdn Bhd. Baju pun dakwah!

p/s: Baju yang saya pakai waktu itu adalah t-shirt berwarna hitam dengan tulisan AKHIL HAYY. Nanti saya cuba letak gambar baju tersebut. Magnet Diri yang saya tulis adalah bersumberkan ilham tulisan Tuan Amin Idris.

Tiada ulasan: