Halaman

Khamis, September 18, 2008

ALAHAI KAD RAYA

" Mana main kad raya dah... Sekarang ini SMS atau email sahaja".
" Kad raya ini ketinggalan zaman la... Rugi duit sahaja. Email dan SMS lagi murah"

Ayat diatas adalah antara ayat yang saya terima apabila bercadang mahu membeli kad raya di Medan Mara pada hari Rabu lepas. nak sedapkan hati, biarlah orang nak kata apa pun. Yang penting, niat saya nak balas kad raya yang telah dihantar oleh kawan-kawan saya dan juga menghantar kad raya kepada guru-guru saya tercapai!

Kad raya ini ada nilai sentimental. Nilai untuk menghargai dan terasa dihargai. SMS dan email boleh padam bila-bila masa. Kad raya ini boleh dipegang, ditatap tanpa perlu bayar duit elektrik komputer dan internet. Saya seorang yang begitu menghargai setiap kad raya yang dihantar kepada saya. Saya sedaya upaya akan cuba membalas kad-kad tersebut. Mungkin itu amalan tradisi saya sejak dari sekolah rendah lagi. Alhamdulillah, tahun ini saya dapat lebih 40 keping kad raya dari rakan-rakan saya. Ada yang dari sekolah rendah, sekolah menengah dan tak kurang juga dari jiran sebelah rumah. Agen Insuran Etiqa takaful saya pun rasanya akan hantar kad raya pada tahun ini berdasarkan rekod tahun-tahun lepas yang tidak pernah ketinggalan menghantar kad raya kepada saya.

Kepada yang telah menghantar kad raya kepada saya. ucapan penghargaan saya tujukan khas buat kalian. Tunggu kad raya saya sampai di peti surat rumah anda pula!

p/s: Nasihat buat teman-teman dan juga kepada diri saya sendiri, jangan terlalu ghairah menyambut Aidil Fitri kerana kita masih di Bulan Barokah yang mulia ini. Rebutlah peluang yang ada dengan menambahkan lagi amalan kita di penghujung Ramadhan 1429H kerana belum tentu kita berpeluang berjumpa dengan Ramadhan 1430H.

Tiada ulasan: