Halaman

Isnin, Februari 23, 2009

KAMBING PUN PANDAI SENYUM

Senyumlah...

Susah ke nak senyum? Senyum itu kan sedekah. Sedekah tanpa modal. Tetapi ramai yang tidak menitik beratkan hal ini. Senyum mampu mewujudkan suasana mesra diantara seorang muslim dengan muslim yang lain. Rasulullah SAW juga suka senyum.

  1. Daripada Umar bin Al-Khatab R.A dia berkata.. “RasulluLLAH SAW tersenyum dan baginda adalah orang yang paling bagus giginya”(diriwayatkan Ibnu Hibban di dalam sahihnya)
  2. Daripada Jabir bin Samurah RA..dia berkata .. “RasulluLLAH SAW tidak pernah tertawa selain daripada senyuman”(Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Hakim).
  3. Daripada Abdullah bin Juz’,dia berkata .. “RasulluLLAH SAW tidak tertawa selain daripada senyuman.” (Riwayat At-Tirmidzi,dan menurutnya hadis ini hasan Ghorib)
Senyum memainkan peranan yang penting dalam usaha dakwah dan pentarbiahan. Mungkin saya bukan orang yang layak untuk berbicara tentang pentarbiahan memandangkan saya juga masih dalam proses pentarbiahan. Namun, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak, sekadar yang termampu moga menjadi ingatan berguna buat kita semua.

Senyum melambangkan satu kemesraan, ukhwah dan mahabbah. Senyum menzahirkan kita sebagai umat yang mesra, lemah lembut dalam pergaulan, bertoleransi dan pentingkan kesepaduan hati. Senyum merupakan dakwah yang cukup halus tetapi tajam. Ia mampu melembutkan hati orang yang kita sapa dengan senyuman. Sebagai pendakwah atau kalimah yang paling popular masa kini Sang Murabbi, senyuman merupakan satu aset penting dan penghubung yang menghubungkan antara pendakwah dengan objek dakwahnya. Senyuman yang dilontarkan dengan ikhlas mampu menerjah ke hati orang yang di sapa dan membibitkan suasana kemesraan diantara dua individu tersebut. Apabila suasana itu sudah wujud, maka dakwah yang ingin disampaikan juga mampu menyerap masuk ke sanubari dengan mudah. ALLAH melarang kita bersikap dingin, berhati keras dan bersikap keras sesama makhluk. Sikap mazmumah ini hanya membuatkan dakwah itu tidak bergerak dan orang itu akan ditinggalkan manusia. Sejalur dengan firman ALLAHU RABBI, “sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu”(ali-imran:159).


Senyumlah. Ini yang diamalkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dalam menyebar dakwah Islamiyyah. Baginda lahir dalam masyarakat yang keras pergaulannya, keras bicaranya. Dengan senyuman yang ikhlas, Baginda SAW mampu menyampaikan dakwah Islamiyyah dengan baik. Hati masyarakat Arab ketika itu cair dengan senyuman Baginda SAW. Sopan santun baginda amat memikat hati masyarakat Arab. Akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW menjadi ikutan masyarakat. ALLAH SWT berfirman

“Sesungguhnya telah ada pada diri RasulluLLAH itu suri tauladan yang baik bagi kalian(iaitu)bagi orang-orang yang mengharap(rahmat)ALLAH dan (kedatangan)hari kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH”(al-ahzab:21)

Rasulullah SAW dengan izin ALLAH SWT berjaya membangunkan ketamadunan ummah yang gemilang bermula di kota cahaya Madinah Munawwarah dibawah Baginda SAW hinggalah ke seluruh alam yang legasinya disambung oleh Para Sahabat Nabi SAW, Para Tabiin dan Tabi' Tabiin.

Akhir kalam, saya menyarankan pada diri saya dan juga anda semua supaya amalkan awet muda ini dan sebarkan kepada rakan-rakan anda. Senyumlah dengan seikhlas hati. Wujudkan silaturrahim yang tulus dengan niat kerana ALLAH SWT supaya kita dapat merasai nikmat kemanisan iman (Halawatul Iman).

Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka". (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: