Halaman

Khamis, April 08, 2010

PEGUAM PECAH AMANAH!

Bekas Peguam Dipenjara 3 Tahun, Denda RM12,000 Kerana Pecah Amanah
(www.mstar.com.my)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas peguam dihukum penjara tiga tahun dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM117,000 milik pelanggannya, lapan tahun lalu.

Hakim Rozana Ali Yusoff menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Nachiappan, 57, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

"Sebagai seorang peguam, kamu tidak boleh sesekali pecah amanah terhadap wang yang diamanahkan oleh anak guam kepada kamu," katanya.Nachiappan disabitkan atas kesalahan melakukan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM117,000 milik sebuah syarikat pembangunan, SAN-IST Sdn Bhd., di Tingkat 4, Wisma Mohd Ebrahim, No 87, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, pada 17 April 2002.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan denda.

Seramai enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan, termasuk tertuduh, memberi keterangan semasa perbicaraan itu.

Peguam R. Murugan, yang mewakili tertuduh, merayu supaya hukuman ke atas anak guamnya diringankan kerana Nachiappan telah menyesali perbuatannya dan tidak bekerja sejak 2004.

"Tertuduh juga turut melalui beberapa masalah sepanjang kesnya berjalan dan itu sudah menjadi satu hukuman ke atas tertuduh," katanya.

Murugan memohon agar hukuman ke atas tertuduh ditangguhkan.

Timbalan Pendakwa Raya Charanjit Singh meminta agar hukuman setimpal dikenakan ke atas Nachiappan kerana tertuduh merupakan seorang penjawat awam dan walaupun tertuduh menyesali perbuatannya, ia sudah terlambat ibarat "nasi sudah menjadi bubur".

Rozana membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan didengar. Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin. - BERNAMA

Tiada ulasan: