Halaman

Selasa, September 09, 2008

SEBUAH PERINGATAN DARI MIMPI


Malam tadi saya mimpikan sesuatu yang buruk berlaku kepada rakan saya sewaktu di sekolah rendah, A. Dia merupakan rakan baik saya sewaktu di sekolah rendah. Sejurus terjaga sahaja dari mimpi, saya terus menghantar mesej dalam bentuk sms kepada dua orang rakan yang rapat dengan A untuk mendapatkan nombor telefon A. Ketika sedang bersahur, saya menerima mesej nombor telefon A dari rakan saya. Apa lagi, saya terus hantar mesej kepada dia bertanya khabar. Mesej pertama tidak berbalas menyebabkan hati saya semakin gundah gulana kerana risaukan diri rakan saya, A. Akhirnya mesej kedua saya berbalas. Tuhan sahaja yang tahu betapa gembira dan leganya hati saya apabila rakan saya tadi berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang perkara buruk berlaku ke atas dia. Saya syukur.

Selesai menunaikan solat Subuh, saya termangu seketika mengenangkan apa yang berlaku pada awal pagi ini. Sebenarnya, mimpi yang saya alami hanyalah sebagai satu peringatan daripada Allah SWT supaya saya menghargai semua sahabat-sahabat saya. Sebelum ini, persahabatan saya dengan si A boleh dikatakan terputus dek geografi alam. Saya di Kuala Lumpur manakala dia di Kuala Kangsar. Nombor telefon dia pula saya tak simpan. Takdir Tuhan, pagi ini kami mesra berbual. Maklumlah, sudah terlalu lama tidak berhubung. Terasa kemanisan sebuah ukhwah yang telah terjalin sekian lama. Alhamdulillah.

Mungkin agak sukar untuk saya berhubung setiap hari dengan semua rakan-rakan saya. Namun, walau dimana jua kalian berada, dekat mahupun jauh, kalian akan sentiasa berada dalam setiap doa-doa yang saya titipkan kepada Allah SWT. Niat saya bersahabat dengan kalian semua kerana Allah SWT. Bertemu dan berpisah kita kerana Allah SWT. Moga dengan kemanisan ukhwah ini, ianya menjadi mahabbah yang mengikat hati-hati kita untuk mencapai matlamat yang satu, mardhatillah.

To all my friends, you are always in my heart.

Tiada ulasan: