Halaman

Selasa, Mac 31, 2009

KEMALANGAN


Pada jam 1.05 petang, ketika saya sedang memandu kereta menuju ke rumah mak cik saya, seorang pelajar sekolah menengah yang sedang menunggang motorsikal telah merempuh kereta yang sedang saya pandu. Kenapa saya kata merempuh? Sebab pelajar sekolah ini memecut dengan laju motorsikalnya tanpa memakai topi keledar dan akhirnya dia hilang kawalan dan memasuki jalan yang bertentangan dan melanggar kereta saya. Bumper kereta rosak teruk. 

Pada awal kejadian, saya agak kaget, risaukan kondisi pelajar tersebut. Muka pelajar itu memang pucat ketakutan. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu segera mengerumuni kami dan memarahi pelajar tersebut kerana memecut laju. Kesian juga dengan pelajar ini. Setiap manusia tidak pernah terlepas dari membuat kesilapan terutama tika usia remaja. Nafsu untuk memecut laju ketika memandu kenderaan memang hanya ALLAH sahaja yang tahu. 

Saya segera meminta pelajar tersebut menghubungi ibu bapanya. Pada mulanya, dia enggan dan cuba berdalih dengan memberi pelbagai alasan. Akhirnya setelah didesak, dia menghubungi ibunya. Ibunya enggan untuk datang dan meminta abang pelajar tersebut untuk datang ke tempat kejadian. Abang pelajar tersebut berjanji untuk membayar ganti rugi. Kereta dihantar ke bengkel untuk dibaiki.

Abang pelajar tersebut meminta maaf kepada saya. Saya memaafkan pelajar tersebut sambil berpesan agar tidak menunggang motorsikal dengan laju di masa akan datang. Niat saya apabila memanggil penjaga pelajar ini bukan untuk mendapatkan ganti rugi semata-mata tetapi yang lebih utama ingin memberi pengajaran yang berguna kepada pelajar ini. Sewaktu saya di sekolah menengah dahulu, saya juga pernah menunggang motorsikal tanpa lesen. Sejak disaman oleh pihak polis, saya serik untuk menunggang motorsikal sehinggalah saya mendapat lesen memandu saya pada tahun 2005! =)

Tiada ulasan: