Halaman

Ahad, Mei 16, 2010

ISU BUKAN ISLAM JADI PEGUAM SYARIE?



Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

  1. Isu seorang peguam wanita bukan beragama Islam, Victoria Jayaseelee Martin, yang berjaya memperolehi kebenaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur bagi mendapatkan semakan kehakiman untuk beliau berkhidmat sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menjadi isu perbualan hangat dikalangan para akademik, pelajar undang-undang mahupun orang biasa (layman).
  2. Memahami fakta kes dan perjalanan prosiding mahkamah dengan penuh teliti dan berhati-hati amatlah penting sebelum kenyataan melulu dikeluarkan.
  3. Dalam kes ini, pemohon telah membawa perkara ini ke Mahkamah Sivil untuk membuat satu semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie yang menolak permohonan beliau untuk menjadi peguam syarie. Sebelum sampai ke proses itu beliau perlu mendapat perintah keizinan dari mahkamah tinggi untuk memulakan tindakan tersebut. Permohonan untuk mendapatkan `leave` ini yang telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Sivil baru-baru ini.
  4. Pemohon belum lagi dibenarkan oleh pihak mahkamah untuk menjadi peguam syarie. Pihak mahkamah hanya membenarkan pemohon untuk membuat semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Peguam Syarie yang telah menolak pemohonan beliau.
  5. Justeru, tidak timbul isu mahkamah telah membenarkan peguam bukan Islam menjadi peguam syarie.
  6. Sebagai persediaan untuk menghadapi kes semakan kehakiman ini, saya mengesyorkan untuk kita buat satu kajian yang mendalam dengan merujuk proviso yang terdapat di dalam Kaedah-Kaedah Peguam Syarie di setiap negeri dan juga merujuk perbahasan dalam kitab-kitab Fiqh. Mungkin juga boleh rujuk bab Al-Wakalah dalam sub topik Wakalah bil al-Khusumah.

Husaini Hussein

1 ulasan:

Dahlan berkata...

Saya tidak pasti sama ada En. Husaini akan bersetuju dengan pendapat saya, tapi saya ingin berkongsi dengan En. Husaini juga.

Saya tidak setuju dengan permohonan orang bukan Islam jadi peguam Syariah. Saya berasa bahawa adalah tidak wajar bagi seorang bukan Islam memohon sebagai peguam syariah walaupun dia ada kelulusan untuk berbuat demikian.

Jika En. Husaini lihat dia dunia sekitar kami, kita boleh ambil contoh di Vatican. Untuk menjadi seorang Paderi tertinggi di Vatican, orang itu haruslah menjadi seorang Kristian. Takkan nak jadi Pope apabila dia seorang Buddha kan? Pelik kalau ini berlaku.

Saya berpendapat bahawa, kalau kita "berpayah" untuk mempelajari hukum-hukum Syariah dengan ikhlas, kenapa kita tidak ikhlas untuk menjadi seorang Islam yang berkelulusan sebagai Peguam Syariah. Adalah lebih baik, kalau kita masuk Islam dengan rela dan barulah pohon untuk menjadi peguam syariah. Ini akan menunjukkan contoh yang baik kepada orang lain. Saya tidak paham kenapa peguam ini tidak masuk Islam. Ini menunjukkan bahawa dia tidak hormat kepada agama Islam. Ini juga menunjukkan bahawa dia masih seorang kafir dan tidak layak untuk menjadi seorang peguam Syariah.

Saya berharap En. Husaini bersetuju dengan pandangan saya secara ikhlas dan berharap bahawa respons setuju atau tidak setuju akan disertakan.

Terima kasih.
Wasalam.