Halaman

Jumaat, Mei 14, 2010

LESEN JUDI SUKAN

Assalamualaikum. Salam sejahtera.

  1. ALLAH swt telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. (2:219).
  2. Di dalam ayat yang lain, ALLAH swt telah berfirman yang bermaksud:Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah perbuatan keji dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (5:90)
  3. Perkara yang halal telah jelas halalnya manakala perkara haram telah jelas haramnya.
  4. Tindakan kerajaan persekutuan 'menghalalkan' judi sukan dengan meluluskan permohonan lesen judi yang dipohon oleh Berjaya Group amat dikesali.
  5. Hujah dangkal yang mengatakan bahawa ia boleh memberi keuntungan dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia merupakan hujah yang tidak boleh diterima pakai. Wajarkah nasib rakyat 1 Malaysia diperjudikan hanya untuk keuntungan yang tidak berpanjangan?
  6. Apabila judi sukan 'dihalalkan;, ia akan memberi impak besar kepada rakyat. Impak ini mampu menjejaskan individu, institusi kekeluargaan mahupun masyarakat.
  7. Masalah jenayah juga dijangkakan meningkat, bilangan muflis akan bertambah dan beban hidup rakyat yang terlibat dengan judi ini nanti akan bertambah.
  8. Rakyat yang tidak terlibat dengan judi juga pasti akan terkesan apabila berlaku peningkatan jenayah di dalam masyarakat.
  9. Meletakkan rakyat sebagai mangsa untuk keuntungan yang tidak berpanjangan adalah bertentangan dengan konsep 1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang dipopularkan oleh YAB Perdana Menteri.
  10. Alasan bahawa judi ini kelak hanya untuk orang bukan Islam merupakan penyataan yang tidak bertanggungjawab. Adakah pihak kerajaan bersedia mewujudkan sebuah badan khas untuk menghalang orang Islam terlibat dengan judi ini kelak? Atau bersediakah Jabatan Agama Islam Negeri ataupun JAKIM memantau?
  11. Saya optimis, semua agama tidak akan merestui penganutnya untuk terlibat dengan perkara negatif terutama judi yang memberi impak negatif yang besar kepada pelakunya.
  12. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya berpendirian tegas bahawa tindakan kerajaan persekutuan meluluskan lesen judi adalah tidak wajar dan kerajaan persekutuan mestilah membatalkan lesen judi yang telah diluluskan.

Husaini Hussein

Tiada ulasan: