Halaman

Rabu, Jun 22, 2011

Anda Adalah Hero Dalam Kisah Anda!

*Artikel ini disiarkan di StudioMuslim.Com

Acapkali kita dihidangkan dengan filem-filem yang menjadikan lelaki paling kacak dan gagah sebagai hero. Selain rupa paras yang tampan ala-ala Shaheizy Sam, watak hero dalam sesebuah filem dijadikan taruhan utama untuk menarik bilangan penonton yang ramai, menonton filem tersebut. Hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi acuan minda penonton yang hanya akan mengagung-agungkan sifat-sifat hero yang plastik. Pak Jabit? Jangan haraplah dia akan dijadikan hero!

Po Yang Mengagumkan!
Kalau anda menonton filem animasi Kungfu Panda, pastinya dimensi pemikiran anda berubah apabila melihat Beruang Panda yang berbadan besar dijadikan hero untuk filem ini! Po merupakan seekor beruang panda yang sangat teruja untuk mempelajari kungfu. Walaupun mempunyai tubuh badan yang gempal, Po tidak pernah menjadikan ia sebagai satu penghalang untuk beliau mempelajari kungfu.

Walaupun dipandang rendah oleh rakan-rakannya diawal pemilihannya menjadi Dragon Warrior, Po tidak pernah berputus asa malah minat yang mendalam untuk mempelajari kungfu dimaksimumkan. Akhirnya beliau berjaya dan menjadi hero dalam cerita tersebut.

Kalau diukur dari aspek fizikal, mungkin Po dilihat sebagai seorang ‘loser’ dari pelbagai sudut. Tetapi Po memilih untuk memaksimumkan kelebihannya sehingga kekurangan dirinya tenggelam dan tidak kelihatan.

Jadilah seperti Po!
Po adalah tauladan terbaik bagi mereka yang sering berasa rendah diri dengan kekurangan diri sendiri. Mengapa perlu memberi fokus pada kekurangan diri anda sehinggakan potensi yang sepatutnya digilap menjadi malap? Jadilah seperti Po! Serlahkan potensi yang anda miliki untuk berjaya dalam hidup. Mengapa memilih untuk jadi orang biasa sedangkan kita diciptakan untuk menjadi yang luarbiasa!

Anda Adalah Hero Dalam Kisah Anda!
Ubah dimensi pemikiran anda. Ambil sehelai kertas dan catatkan kelebihan serta potensi yang ada pada diri anda. Serlahkan potensi tersebut semaksimum mungkin dan jadilah hero dalam kisah anda!

Tiada ulasan: