Halaman

Jumaat, Ogos 31, 2007

LELAKI, JANGAN 'MENGANDUNG'

(Sekadar gambar hiasan)

Lelaki 'mengandung'? Tidak. Mereka tidak mengandung. Tapi perut mereka seakan-akan mengandung! Ada sahabat saya berkata, "Isteri suka kalau lelaki boroi sebab bukti dia pandai masak". Tidak kurang juga yang kata lelaki berperut buncit ini seksi. Seksi ke? Biarlah apa pun nilaian orang, yang penting sebagai lelaki, anda juga harus menjaga penampilan diri. Baik dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Kali ini saya mahu berkongsi tips untuk atasi perut buncit. Dari aspek senaman, pertama sekali anda duduk di atas lantai dengan selesa dengan kaki melunjur ke hadapan. Jika ada alas dengan tikar pun bagus. Bengkokkan lutut anda. Letakkan kedua tangan anda di dada dan rendahkan sedikit badan anda ke belakang. Cuba baringkan badan anda tanpa mencecah ke lantai kemudian naik semula. Ulang sebanyak tiga kali kemudian rehat sebentar. Kemudian ulang mengikut kemampuan anda. Anda tidak boleh paksa tubuh anda melakukannya berulang kali dalam satu masa tambahan anda baru hendak mula, dikhuatiri otot anda akan cedera. Untuk aspek pemakanan, elakkan minum air selepas makan. Cuba rehat kira-kira 10 minit selepas makan baru anda minum. Penampilan yang menarik mampu membuat anda beras yakin diri berhadapan dengan orang ramai. Jaga kesihatan dan tampak menarik ini bukan tertumpu pada remaja semata-mata, tapi lelaki yang sudah berusia pun perlu amalkannya. Baru nampak muda sentiasa. hehe.

MERDEKA! BENGANG BETUL.



Semalam setelah selesai menelaah pelajaran, saya pergi ke restoran berdekatan untuk menyaksikan sambutan kemerdekaan negara kita yang ke-50. Tempat pertama saya tuju adalah restoran melayu. Saya pun memesan Nasi Kukus Ayam Goreng Panas dan segelas air sirap limau. Saya perhatikan sejak mula saya datang hinggalah saat saya menikmati juadah makan malam saya, televisyen hanya bersiaran cerita di Astro, Kungfu Hustle! Dalam hati berbisik, mungkin mereka akan tukar siaran beberapa minit sebelum tiba detik 12 tengah malam. Selesai saya menikmati juadah makan malam yang lazat itu, saya lihat ke arah jam besar di dinding restoran itu. Jam menunjukkan pukul 11.57malam tetapi pelayan restoran mahupun pemilik restoran itu masih tidak berganjak dengan cerita Kungfu Hustle nya. Akhirnya, saya hanya mendengar letupan bunga api yang mewarnai dada-dada langit. Punyalah bengang saya malam itu. Nak tengok kat rumah, televisyen tidak ada. Nasib baik lah rumah saya tidak jauh dengan KLCC. dpat juga lihat percikan bunga api. Kemudian, setelah saya buat pembayaran, saya terus angkat kaki pergi ke restoran mamak berdekatan itu. Biarlah pekerja restoran melayu itu menyambut merdeka dengan cerita Kungfu Hustle mereka dan cerita Ripleys, Believe It Or Not.
Di restoran mamak, hati saya terubat apabila melihat siaran langsung sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka. Nampaknya masih ada orang melayu yang seakan-akan lupa tarikh keramat 31 Ogos yang menyaksikan negara kita yang tercinta ini mengecapi nikmat kemerdekaan. Saya berdoa moga golongan ini akan sedar dan lebih menghargai nikmat yang tidak ternilai ini.
P/s: Sekadar berkongsi rasa, saya kurang setuju dengan cara kerajaan Barisan Nasional yang terlalu menonjolkan pemimpin Barisan Nasional seolah-olah mereka sahaja yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Mana perginya nama Pak Sako, Burhanudin Helmy, Abu Bakar Al-Baqir? Perjuangan mereka tidak sepatutnya kita lenyapkan dari sejarah kemerdekaan kita. Saya kuatir, dengan tindakan Barisan Nasional ini mampu membuat generasi baru kita kabur dengan perjalanan mencapai kemerdekaan. Biarlah kita ketepikan soal politik buat sementara waktu dalam hal-hal sebegini agar keharmonian akan lebih terserlah. Saya menanti saat-saat sambutan kemerdekaan dimana di atas pentas utama, berdirinya pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan Barisan Alternatif. Mungkinkah 50 tahun akan datang? Biar Tuhan tentukan. Kita usaha ke arah itu! (Saya adalah pelajar dan tidak cenderung ke arah politik lagi buat masa ini. Bukan penyokong atau pembangkang mana-mana parti politik. Saya hanya akan bercakap atas tiket rakyat atau pelajar yang bebas! Mana yang betul akan saya sokong baik dari BA mahupun BN. Mana yang salah, akan saya utarakan juga.)

Selasa, Ogos 28, 2007

DEDIKASI KHAS BUAT SAHABATKU, NAZRIN.



Inilah kawan saya. Kawan paling rapat sekali di kampung. Nama dia Nazrin. Macam nama Raja Muda Perak pula. Saya mula kawan dengan dia sejak tadika lagi. Kami pergi sekolah sama-sama. Belajar pun dekat sekolah sama. Bila dia beli basikal, saya pun mahu basikal. Dia seorang kawan yang lebih dari kawan. Dia baik. Sangat baik. Dia suka rock. Saya suka nasyid. Dulu, Nazrin duduk sebelah rumah saya. Tapi sekarang dia sudah pindah. Walaupun dah pindah, dia tetap datang ke rumah saya.

Kini, kami sudah besar. Dia tetap kawan saya. Bila saya balik ke Ipoh, kawan pertama yang akan saya cari adalah Nazrin. Kadang-kadang bila tinggal di Kuala Lumpur ini, teringat dekat Nazrin. Sebab dia kawan yang paling rapat dengan saya. Pernah juga gaduh tapi tak lama.

Hari ini, 29 Ogos 2007, adalah hari ulangtahun kelahiran dia. Saya bersyukur sangat kepada Tuhan. Tuhan kurniakan Nazrin menjadi kawan saya. Saya doa moga persahabatan saya dengan Nazrin akan kekal. Kekal bersama kasih sayang Tuhan.

Ahad, Ogos 26, 2007

[IKLAN] SERUNDING ENAK DARI KELANTAN

(Gambar diatas adalah sekadar hiasan)


Bermula 1 September 2007, saya akan mula memasarkan satu lagi produk orang Islam yang bermutu tinggi, Serunding Daging. Serunding ini didatangkan khas dari Kelantan!!! Buatan Orang Islam dan dijamin Halal. Serunding ini lazat dimakan bersama nasi putih yang sedang panas. Juga enak dimakan bersama roti. Bagi pelajar IPT, inilah peluang keemasan untuk anda berjimat! Anda hanya perlu beli sebungkus nasi putih kosong dengan sayur atau ulam berharga dalam RM1.50 dan nikmati serunding daging ini sebagai menu harian anda. Anda boleh berjimat beringgit-ringgit tanpa perlu berlapar mahupun makan mee segera. Makan sepinggan nasi dengan sayur dan serunding daging ini lebih berkhasiat daripada makan makanan segera kegemaran anda. Ia juga sebagai satu alternatif untuk anda menikmati makanan halal tanpa perlu risau kepada keracunan makanan. Apa tunggu lagi, hubungi saya untuk tempahan Serunding Daging anda sekarang!



Abu Afham

Hp: 019-2007818

Khamis, Ogos 23, 2007

JUAL PETAI DAPAT BASIKAL BMX


Sejak dari kecil lagi, mama mengajar saya bahawa kalau mahukan sesuatu, usaha dahulu untuk mendapatkannya. Duit tidak akan datang dari langit. Perkara ini mengingatkan saya kepada pengalaman pertama kali saya berniaga.

Sewaktu saya darjah 2, saya pergi ke sekolah dengan menaiki basikal. Maklumlah, sekolah agak dekat dengan rumah dan ramai kawan saya yang ke sekolah berbasikal. Jadi macam 'trend' pula waktu itu. Saya pun tunggang basikal saya buat kali pertama ke sekolah. Sampai sahaja di sekolah, saya dicemuh kawan-kawan gara-gara membawa 'basikal perempuan'. (Basikal perempuan merujuk kepada basikal yang mempunyai raga di depan) Punya la malu saya bukan kepalang. Saya lihat semua kawan saya memakai basikal BMX. Balik sahaja ke rumah, saya terus pergi ke dapur jumpa mama. "Along tak nak bawa basikal tu esok. Kawan along semua ejek along pondan sebab bawa basikal perempuan". Mama senyum dan berkata, "Basikal itu 'second hand' punya. Bawa sahaja. Cukup masa nanti, beli la basikal baru". Saya menarik muka masam kepada mama. Dalam hati, rasa gelisah menanti hari esok.

Esoknya, seperti biasa kata-kata pedas itu menusuk telinga saya. Malah lebih tajam dari semalam hinggakan saya rasa nak tumbuk seorang demi seorang. Tapi pesan babah supaya jangan bergaduh menyebabkan tangan saya terkaku untuk bergerak. (Babah saya seorang bekas tentera!). Apabila pulang dari sekolah, saya lihat berpapan-papan petai terlonggok di ruang tamu. Mama sedang ikat petai-petai tersebut menjadi beberapa ikat. "Pergi salin baju. Kalau along nak basikal BMX, pergi jual petai ini seringgit satu", kata mama. "Apa? Jual petai!!! Malu la along mama", jawab saya. Tapi disebabkan keinginan mahu menukar basikal itu terlalu membara, maka saya kuatkan diri. Dengan langkah yang longlai, saya bawa petai-petai tersebut keliling kampung. Pergi dari rumah ke rumah. Mula-mula rasa malu. Namun, bila seikat demi seikat laku, perasaan mula berbunga. Rasa seronok pula berniaga. Saya pulang semula ke rumah dengan membawa hasil. Petai? habis semua terjual! Esoknya saya jual pisang goreng yang digoreng mama. Lusa, jual air soya panas. (Mama memang pandai masak dan buat macam-macam walaupun dia seorang jururawat). Sedar tak sedar, pada suatu petang, ketika saya pulang dari sekolah, saya lihat ada sebuah basikal BMX di halaman rumah saya. Apa lagi, menjerit tak terkata. Seronok!

Itulah pengalaman pertama saya berniaga. Jual petai! Dari situ, saya belajar, bukan mudah untuk kita dapatkan sesuatu. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya. Jangan hanya pandai meminta. Babah dan mama saya sebenarnya mampu belikan basikal BMX untuk saya tapi mereka tidak sewenang-wenangnya membelikan basikal itu kerana mereka mahu saya belajar asas kehidupan. Atas ajaran pertama inilah saya bina semangat untuk terus berniaga hinggalah sekarang. Kalau ikut bahasa kampung, cakap berniaga la. Tapi kalau nak 'kelas' sikit, cakap bisnes! hehe.

Mama dan Babah adalah guru yang terbaik! Terima kasih mama! Terima kasih babah!
Ya Allah, aku syukur pada kurniaanMu ini.

Sabtu, Ogos 18, 2007

SECANGKIR KASIH


Tuhan,

Kurasa hati ini masih jauh dariMu,

Walau setiap titis rezekimu kuteguk,

Walau setiap inci tanahmu kupijak,

Namun, kasihMU seakan tiada memenuhi ruang dadaku.



Apakah kelalaianku menjadi punca?

Atau cinta dunia telah menjadi raja di hati ini?



Aku masih mencari,

Cintaku yang tidak terarah,

Jalanku yang tebal diselaputi kabus dunia,



Tuhan,

Andai masih ada ruang cintaMU padaku,

Maka penuhilah hatiku dengan cintaMU,

Agar nawaituku lurus,

Menjadi Salahuddin Al-Ayyubi dalam setiap doa-doaku kepada Palestin!

Menjadi Umar Al-Kattab dalam setiap pendirianku!

Menjadi Abdul Rahman Bin Auf dalam setiap pekerjaanku.



Tuhan,

redhaMu kugapai buat bekal perjalananku dan perjuanganku.

Ameen.

Jumaat, Ogos 17, 2007

BAJET BULANAN




"Saudara ada bajet bulanan untuk saudara sekeluarga?", tanya A kepada B.
"Bajet bulanan? Keluarga saya kecil sahaja. Tak perlu bajet bulanan. Ada duit, beli. Tak ada duit, tak perlu beli." Jawab B bersahaja.

Bajet Bulanan penting untuk menguruskan kewangan seseorang supaya sentiasa berada dalam keadaan stabil. Kita cuma perlu beberapa minit sahaja untuk diluangkan membuat Bajet Bulanan ini yang mampu membuat anda untung berbulan-bulan lamanya. Nampak tak 'pelaburan' yang telah anda buat? Beberapa minit yang anda luangkan mampu memberikan anda keuntungan berbualn-bulan! Dengan Bajet Bulanan, kita dapat mengawal aliran keluar duit. Kita tahu kemana duit kita disalurkan setiap bulan. Dalam Bajet Bulanan juga, kita dapat rancang kewangan kita untuk jangka masa panjang. Kita boleh rancang bila mahu beli kereta, tanah, rumah dan sebagainya. Ini mampu meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan nada.
Jika sebelum ini, anda hanya mampu memakai Proton Waja, dengan perancangan
kewangan yang teliti dan berdisiplin, anda mampu membeli sebuah Proton Perdana
V6 yang baru! kan untung tu.


Orang yang tidak membuat atau mempunyai Bajet Bulanan, mereka sering mempunyai masalah kewangan yang agak kronik. Baru dapat gaji, tak sampai tengah bulan, duit sudah habis. Akhirnya, 'Along' yang bertindak sebagai 'ATM Machine' menghulur bantuan. Tapi awas, bantuan dia tidak pernah percuma! Anda perlu membayar semula beserta 'bunga'nya sekali. Ketiadaan Bajet Bulanan juga membuat seseorang berada di takuk yang lama. Tiada sebarang perubahan dalam dirinya walau telah hampir 20tahun bekerja makan gaji! Orang lain 20 tahun makan gaji telah berjaya membeli sebuah rumah kos sederhana dengan sebuah kereta Proton Pesona. Jadi, apa kata untuk pendapatan anda yang seterusnya, anda buat Bajet Bulanan anda sendiri. Tak ambil masa yang lama. Yang penting, anda duduk dalam keadaan yang tenang dan mula menulis segala perbelanjaan anda pada bulan itu. Jangan lupa, dalam bajet itu nanti, jangan belanjakan semua! Tinggalkan dalam RM200-RM400 sebagai persediaan menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini untuk bulan itu. Jika tiada apa-apa berlaku, maka duit itu anda boleh simpan dalam bank. Cukup masa, boleh beli rumah banglow sebiji! =)

Khamis, Ogos 16, 2007

PERTEMUAN KEDUA


Teman,
Kutinggalkan kau di perhentian itu,
Atas kehendakmu,
Mencari dunia baru.

Berat hatiku melepaskan,
Namun kau kukira alah mengerti ini semua,
Biarlah masa dan kenangan yang menemukan kita.

Teman,
Ku masih menanti saat pertemuan kedua kita,
Agar kita dapat berbicara suka,
Lagak dunia milik kita.

Jumaat, Ogos 03, 2007

ENTAH


Entah. Mungkin ini tajuk sesuai bagi topik saya pada kali ini. Saya berasa kelu untuk berbicara lantaran kekalutan hidup yang diseludangi bisa cintakan dunia. Mungkin saya masih kabur dengan makna IKHLAS. Atau mungkin saya masih kurang mengerti erti Cinta. Punbegitu, UKHWAH akan tetap terpelihara. KASIH akan tetap menjadi satu. JIWA akan tetap berada di tangga itu. Selagi IMAN menjuarai diri. dan tumpasnya NAFSU pada tangan-tangan TAQWA.