Halaman

Jumaat, Januari 16, 2009

SEKITAR PILIHAN RAYA KAMPUS 2009 : UPM

Gabungan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia menghantar memorandum bantahan kepada pihak universiti berhubung pengendalian pilihanraya kampus UPM yang dijadualkan 19 Januari depan.

Gabungan itu, yang diketuai oleh Lau Wai Seng, pergi ke pejabat Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah untuk menyerahkan memorandum tersebut. Bagaimanapun, Dr Nik Mustapha tiada di pejabat. Berikutan itu, Lau menyerahkan memorandum tersebut kepada ketua bahagian komunikasi korporat UPM, Abdullah Arshad pada jam 10.30 pagi tadi.

Dalam memorandum itu, mereka membantah tujuh perkara membabitkan peraturan tatacara pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM bagi sessi 2008-2009.

Tujuh perkara tersebut ialah:
1. Kempen yang akan berlaku pada hujung minggu, bukan pada hari bekerja.
2. Penafian hak kepada pelajar kursus perubatan, fakulti perubatan untuk menjadi calon pada pemilihan kali ini.
3. Kaedah kempen yang sangat terhad (hanya melalui lisan).
4. Pihak Jawatankuasa pilihanraya (JKP) mengambil alih fungsi jentera calon pilihanraya untuk menjalankan kempen rasmi (JKP yang akan menyediakan bahan dan menggantung poster dan kain rentang calon).
5. Menutup ruang kepada calon untuk menyampaikan kempen yang baik disebabkan oleh birokrasi yang diwujudkan di peringkat kolej dan fakulti.
6. Menutup ruang kepada pengundi untuk memilih calon yang berkelayakan sebagai pimpinan pelajar.
7. Hanya pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan pihak universiti sahaja yang menguruskan pemilihan MPP, tanpa dipantau oleh mana-mana badan luar yang boleh dipercayai.

Penamaan calon bagi pilihanraya kampus UPM akan berlangsung esok. Menurut Lau lagi, satu majlis taklimat telah diadakan oleh JKP untuk calon dan pencadang calon.

Dalam majlis itu juga, katanya, mereka meminta penjelasan JKP berhubung penyebaran risalah yang mendakwa pelajar pro-Mahasiswa memboikot pilihanraya kampus. Risalah itu ditampal dan diedarkan di kolej dan bilik kediaman pelajar. Bagaimanapun, katanya, calon-calon pro-Mahasiswa menuduh kakitangan UPM yang mengedarkan risalah tersebut. Sebaliknya, kata Lau, pihak JKP mendakwa kakitangan UPM hanya ditugaskan mengutip risalah tersebut dan bukan mengedarnya.-malaysiakini

Tiada ulasan: