Ketika saya berjalan melintasi Sekolah Rendah Islam Al-Amin Kuala Lumpur baru-baru ini, terubat rasa rindu saya kepada murid-murid Al-Amin. Keletah mereka, senyuman mereka dan tak kurang juga kenakalan mereka membuai-buai hati saya untuk kembali ke memori bersama mereka ketika saya menjadi guru ganti di sekolah ini.
Sepanjang menjadi guru sekolah Al-Amin, setiap saat hati saya dipenuhi dengan perasaan kasih sayang, gembira, tenang dan damai. Terasa biah solehah yang pernah saya rasai satu ketika dahulu di KISAS. Melihatkan senyuman mereka mampu memberi ketenangan dalam hati saya. Saya tidak nafikan yang saya memang suka kanak-kanak tetapi murid-murid Al-Amin berbeza! Mereka dididik dengan satu bentuk pentarbiahan yang cukup baik. Akhlak mereka, tutur kata mereka, adab-adab mereka membuatkan ramai yang teruja apabila bersama dengan mereka. Ya, mereka masih kanak-kanak tetapi kanak-kanak inilah yang mampu mencerminkan biasan dakwah kepada sesiapa yang melihat dan bersama dengan mereka. Pernah saya membawa rakan-rakan saya ke sekolah ini untuk satu program motivasi dan mereka juga turut merasai perkara yang sama. Inilah kesan pentarbiahan yang baik. Perjalanan kehidupan mereka masih panjang. Saya berdoa moga mereka istiqomah dan tetap di jalan dakwah ini.
Di Al-Amin, saya bukan sekadar mengajar, saya juga turut belajar secara tidak formal dengan guru-guru Al-Amin. Mereka ikhlas. Tabah dan cekal! Secara peribadi, saya amat kagum dan hormat dengan guru-guru sekolah Al-Amin. Ilmu, pengalaman dan nasihat yang dicurahkan, banyak mengajar saya dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar di 'Hutan Batu' ini. Kadang-kadang terasa rindu untuk mendengar kata-kata nasihat daripada Ustaz Razaini, Ustaz Zubir, Ustaz Jabbar, Ustaz Syed Abi Mahfuz (zaujah ustaz ini pernah terpilih Jemputan Umrah Astro Oasis tetapi dia menghadiahkan kepada pemandu teksi yang selalu membawa anak-anak dia ke sekolah) dan ramai lagi ustaz-ustaz dan guru-guru di sekolah Al-Amin.
Di sekolah ini juga, saya belajar untuk memahami perasaan anak kecil yang ketiadaan ayah. Bukan kerana telah meninggal dunia tetapi ditahan tanpa bicara di Kem Kemunting dibawah akta ISA. Apa salah anak kecil ini sehingga dinafikan haknya untuk bersama ayahanda tercinta? Kenapa begitu zalim manusia sehingga sanggup memisahkan seorang bapa dengan anak kecil yang belum puas menagih kasih seorang ayah? Saya dapat tahu, sehingga ke hari ini, ayah murid ini masih ditahan di Kem Kemunting dan murid ini kini berusia 16 tahun! Jika benar ayah murid ini bersalah, kenapa tidak dibicarakan? Mengapa perlu ditahan dalam tempoh yang lama tanpa sebarang keadilan buat dia dan keluarganya? Dalam undang-undang, 'a person is innocent until proven guilty'. Saya berdoa, moga keadilan buat En Mat Sah Bin Mohd Satray dan rakan-rakannya di Kem Kemunting akan tertegak kelak insyaALLAH. Buat Suhaib, bersabarlah dan sentiasa beri sokongan kepada ibumu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan