Halaman

Sabtu, Februari 12, 2011

Meng'Islamik'kan Valentine's day?

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

  1. Bulan Februari dikaitkan dengan Hari Kekasih atau lebih popular dengan nama Valentine's Day. Pada setiap 14.Februari, restoran-restoran akan penuh ditempah oleh pasangan-pasangan cinta yang kononnya meraikan hari paling bersejarah dalam kemuncak cinta mereka. Perayaan ini jelas BUKAN perayaan orang Islam tetapi masih ramai orang Islam yang menyambutnya.
  2. Maka wujudlah seruan dan gesaan pengharaman Valentine's Day. Anda boleh ke laman web Ustaz Zaharuddin untuk kupasan menarik mengenai Hukum Meraikan Valentine's Day.
  3. Di IPTA dan juga sekolah-sekolah, setiap kali tiba bulan Februari, maka berbondong-bondonglah program dan aktiviti yang dilaksanakan khusus bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar dan juga mahasiswa berkenaan isu Valentine's Day. Sedar atau tidak, program-program yang dianjurkan juga bertemakan cinta. Walaupun semua maklum program tersebut mahu highlight Cinta Ilahi ataupun Cinta Rasul tetapi dalam ceramah, forum atau aktiviti-aktiviti tersebut masih menyentuh aspek Cinta Manusia yang kononnya diselitkan supaya hadirin yang hadir suka mendengarnya dan akan ketawa terbahak-bahak. Yang muslimatnya pula akan tersipu-sipu malu dengan gaya penuh ayu!
  4. Tidak cukup itu, segala bagai poster mahupun kain rentang yang dibuat masih bertemakan warna pink atau merah dan simbol Cinta masih digunakan walaupun mesejnya berbeda.
  5. Persoalannya, mengapa dalam kita menghebahkan pengharaman Valentine's Day, dalam masa yang sama kita juga turut mewujudkan suasana cinta itu sendiri dengan bercakap soal cinta, menggunakan warna pink yang meromantiskan lagi suasana pasangan yang sedang mabuk bercinta? Adakah kita cuba meng'Islamik'kan Valentine's Day dengan cara sedemikian rupa?
  6. Di UIA sekarang ini, bersepah-sepah poster yang wujud perkataan cinta, yang menggunakan warna pink dan merah dan tidak kurang juga yang menggunakan simbol cinta! (Dalam kes ini, Iluvislam.com tidak tersenarai ya!). Juga terdapat forum, ceramah dan pelbagai program yang dianjurkan bertemakan cinta! Sehinggakan seorang rakan saya berkata, "UIA kini dipenuhi dengan aura Valentine's Day. Cuma pengisiannya lebih Islamik!"
  7. Memetik kata-kata Wardina Safiyyah di laman Facebook, "Nak minta tolong rakan2 Media, tak payah sebut, highlight and cover hari Valentine, jangan buat special coverage, tema warna pink, pegang bunga rose even. Minta tolong buat tak tahu, seolah hari itu tidak wujud. NO to Valentine! Let's put this as our status update! Penghinaan kepada wanita jika anda ingat dia setahun sekali je.. Harap maklum!"
  8. Paling menyedihkan dalam kerancakkan isu Valentine's Day ini disensasikan, Maulidur Rasul seakan tenggelam. Tidak cukup dengan itu, sambutan Maulidur Rasul juga 'diserang' dengan hujah-hujah segelintir pihak yang mengatakan itu bid'ah, ini bid'ah sehinggakan nak sambut Maulidur Rasul pun masyarakat jadi keliru. Kesudahannya siapa yang rugi? Tepuk dada, tanya diri!

Tiada ulasan: